Kelantan kekal dengan 2 stesen ECRL


Gambar hiasan

KOTA BHARU: Hanya dua buah stesen. Tiada perubahan dari segi bilangan stesen yang diputuskan bakal dibina di negeri ini dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, dua stesen ECRL berkenaan masing-masing di Pasir Puteh dan Kota Bharu.


Kata beliau, jajaran keseluruhan ECRL adalah sepanjang 210.4 kilometer (km) manakala jajaran di negeri ini pula melibatkan jarak 43.86 km.


“Untuk makluman, kelulusan bagi Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) merangkumi enam stesen iaitu Kota Bharu (stesen penumpang) dan Pasir Puteh (stesen penumpang dan kargo) di Kelantan.


“Manakala di Terengganu adalah Jerteh (stesen penumpang), Bandar Permaisuri (stesen penumpang), Kuala Terengganu (stesen penumpang) dan Dungun (stesen penumpang dan kargo),” katanya.


Azami menjawab soalan Abdul Azziz Kadir  (Pas-Jelawat) yang bertanyakan apakah laluan terkini ECRL di negeri ini dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antara jajahan termasuk dalam laluan ECRL di di Kelantan adalah Pasir Puteh, Machang, Bachok dan Kota Bharu dengan 1,651 lot tanah terlibat dengan projek tersebut.


Beliau turut memberitahu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada Julai lalu bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Koordinator Kerja ECRL bagi memantau pengendalian kontrak ECRL untuk kuota 40 peratus kontraktor tempatan negeri ini. 


Dalam soalan tambahan, Abdul Azziz bertanya sama ada kerajaan negeri akan membuat rayuan untuk kembali kepada cadangan asal ECRL iaitu jajaran yang lebih panjang hingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat.


Azami berkata, buat sementara waktu, pihak kerajaan negeri akan menumpukan perhatian kepada perkara yang diluluskan terlebih dahulu, namun tidak menolak kemungkinan untuk membuat rayuan tersebut.


Untuk rekod, Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini pernah beberapa kali memohon supaya jajaran projek mega tersebut diambil kira sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat seperti dipersetujui Kerajaan Persekutuan sebelum ini.


Sumber: Utusan Malaysia


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.