top of page

Kediaman bertingkat jadi pilihan


KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kediaman bertingkat tinggi seperti kondomi­nium dan pangsapuri terus menjadi pilihan dalam kalangan pembeli terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.


Pengurus Negara Property­Guru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, faktor harga kemasukan hartanah jenis berke­naan yang lebih berpatut­an mungkin antara pendorong ia menjadi paling digemari berbanding rumah teres atau berkembar.


Katanya, pemaju dijangka te­rus membina unit lebih kecil bagi kediaman seumpamanya dengan keluasan antara 41.8 meter persegi hingga 78 meter persegi yang menawarkan ruang fleksibel bagi memenuhi segmen demografi pelbagai.


Ini kerana, menurutnya, keba­nyakan demografi yang meminati hartanah jenis kondominum dan pangsapuri terdiri daripada belia yang baru memulakan pekerjaan, pasangan muda yang baru berkahwin dan golongan pesara yang menginginkan kehidupan lebih ringkas.


“Unit dual kunci mungkin popular bagi mereka yang ingin bekerja dan tinggal di tempat yang sama. Pemaju dijangka membina lebih ba­nyak unit bersaiz kecil di kawasan yang lebih dekat dengan pengangkutan awam dan akan dilengkapi dengan lebih banyak kemudahan.


“Ini menjadi antara faktor utama bagi pemaju untuk memenangi pembeli dalam kea­daan pasaran hartanah yang agak suram,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.


Namun begitu Fernandez berkata, tidak semua hartanah bertingkat ditawarkan pada harga mampu milik terutama di kawasan-kawasan panas yang menjadi tumpuan pembeli.


“Dari segi harga, ramai yang mencari di bawah harga RM300,000 sebuah, namun ia sukar untuk didapati apatah lagi di kawasan Bangsar, Mont Kiara dan Cheras kerana banyak hartanah di lokasi ini bernilai lebih daripada julat harga berke­naan,” katanya.


Selain itu, katanya, terdapat pe­ningkatan yang kukuh dalam permintaan bagi hartanah yang terletak di lokasi strategik dan dihubungkan terus dengan laluan MRT dan LRT.


“Faktor lain se­perti penyelenggaraan harta benda dan kemudahan gaya hidup akan memainkan peranan bagi pembeli untuk menentukan sama ada ia sesuai, memandangkan pembeli mempunyai terlalu banyak pilihan dalam pasaran yang tepu dengan bekalan,” katanya.


Fernandez berkata, Indeks Pasaran Property­Guru mendapati situasi itu agak berbeza di kawasan Johor dengan rata-rata pembeli lebih berminat terhadap kediaman bertanah terutama rumah teres dua tingkat.


“Secara keseluruhan, walaupun keadaan pasaran yang lembab, situasi ini disifatkan sihat kerana terdapat banyak bekalan pembelian dan penyewaan untuk dipilih oleh rakyat Malaysia, ini seterusnya menggalakkan inovasi dan idea-idea menarik terutama berkaitan dengan pembinaan dan reka bentuk, penggunaan ruang, teknologi dan banyak lagi yang mampu ditawarkan pemaju,” katanya.


Sumber: Utusan


23 views

תגובות


bottom of page