top of page

Kedah mohon teruskan projek KXP



KEDAH memohon pengecualian bagi meneruskan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) selepas Kementerian Pengangkutan mengumumkan pembinaan lapangan terbang baharu hanya akan dipertimbang selepas 2030.


Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan bersama Kementerian Pengangkutan Jumaat ini, bagi membincangkan perkara itu.


Katanya, kerajaan negeri berharap projek itu dapat diteruskan selepas 12 kajian daripada 12 konsultan membabitkan pelbagai aspek bagi melaksanakan projek itu sudah dibuat.



"Perbincangan ini perlu dilakukan susulan kenyataan Kementerian Pengangkutan bahawa semua projek naik taraf dan pembinaan lapangan terbang baharu hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) dimuktamadkan pada 2023.


"Jika itu berlaku, kita akan berhadapan masalah melaksanakan KXP. Rundingan perlu dibuat bagi memastikan pembinaan KXP dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa mengabaikan keperluan NASP," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.


Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri akan mengetuai delegasi terbabit bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Negeri, Azman Nasrudin serta pengurusan tertinggi KXP AirportCity Holding.


"Sudah banyak kajian dilakukan sejak 2015, kita harap projek ini dilaksana secepat mungkin dan tidak tersangkut atau tertangguh kerana NASP.


"Kajian itu membabitkan peruntukan RM21 juta sudah dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK)," katanya.


Semalam, media melaporkan sebarang cadangan pembangunan atau naik taraf lapangan terbang baharu hanya dapat dipertimbangkan selepas kajian NASP dimuktamadkan kerajaan.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kajian itu dijalankan berikutan penularan Covid-19 yang memberi kesan terhadap ekonomi dunia dan negara terutama membabitkan aspek perubahan corak permintaan pelancong serta sektor penerbangan.


Katanya, satu tempoh pemulihan diperlukan yang dijangka memakan masa antara dua hingga tiga tahun lagi.


Sumber: Harian Metro


7 views
bottom of page