top of page

Kedah akan jumpa P. Pinang perjelas isu KXP


KUBANG PASU 13 Mei - Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Pulau Pinang bagi membincangkan isu membabitkan cadangan pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang melibatkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.


Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, dalam pertemuan tersebut, pihaknya akan meyakinkan Pulau Pinang bahawa projek tersebut tidak akan menjejaskan kepentingan ekonomi negeri berkenaan.


Menurut beliau, sebaliknya pembinaan KXP bukan sahaja mampu menjadi pelengkap kepada perkhidmatan kargo di wilayah utara, tetapi pada masa sama boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di koridor tersebut.

“Kami akan mengadakan perjumpaan dengan mereka (Pulau Pinang) dalam waktu terdekat bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk KXP.


“Perbincangan itu akan turut melibatkan kerajaan negeri Perak yang bertujuan mendapatkan pandangan ketiga-tiga kerajaan negeri ini dalam pelbagai isu lain yang berkaitan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan moreh sempena Ramadan kepada masjid-masjid di Jerlun di sini, hari ini.


Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyuarakan kebimbangan mereka dengan menjangkakan KXP bakal menjadi saingan dan mengurangkan kadar penggunaan kemudahan infrastruktur kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).


Malah, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Kon Yeow juga menjelaskan Pulau Pinang bakal kehilangan pelabur yang akan beralih arah ke kawasan Kulim jika KXP dibina.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata, kerajaan negeri dalam proses untuk mengisytiharkan Hutan Simpan Ulu Muda, dekat sini sebagai taman negeri bagi memelihara dan memulihara kawasan tadahan air di situ seperti yang disyorkan Kerajaan Pusat.


“Di samping untuk tujuan pelihara hutan simpan berkenaan, kami juga sedang mengenal pasti aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam sesuatu kawasan taman negeri kerana mahu menggalakkan aktiviti ekopelancongan di situ,” katanya. - UTUSAN ONLINE



45 views
bottom of page