top of page

KDVT2: Anthony Loke desak Tengku Zafrul, Ka Siong senaraikan tender terbuka


KDVT2: Anthony Loke desak Tengku Zafrul, Ka Siong senaraikan tender terbuka Astro Awani www.astroawani.com
Gambar hiasan: KTM

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong didesak agar menyenaraikan projek tender terbuka sepanjang pentadbiran mereka sebagai menteri.


Desakan tersebut dibuat oleh bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) meneruskan semula projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang dirunding semula ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).


Setiausaha Agung DAP itu menambah, projek tersebut diteruskan semula tanpa perubahan kos dengan skop projek serta terma pelaksanaan dikekalkan sepertimana dirunding oleh PH pada 2019.


"Memang kita tahu projek kerajaan patut dibuat secara tender terbuka.


“Kita buktikan apa yang dikatakan ini tidak betul, dan kita nak Tengku Zafrul dan Wee makan balik kata-kata mereka. Kalau betul mereka nak buat secara tender terbuka, saya mahu cabar Tengku Zafrul untuk umumkan senarai projek yang dianugerahkan secara rundingan terus semasa pentadbirannya di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.


“Kalau beliau boleh senaraikan 101 projek di bawah PH, kenapa tidak beliau senarai projek di bawah Perikatan Nasional (PN), dan Datuk Seri Ismail ketika ini?


“Saya juga nak Wee, kalau betul nak jadi juara projek tender terbuka, nyatakan berapa projek yang dia sendiri berikan secara tender terbuka dan rundingan terus sejak jadi menteri MOT,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP pada Isnin.


Sebelum ini, Tengku Zafrul mengeluarkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran PH termasuk membabitkan projek KVDT2 bernilai RM4.475 bilion yang diberikan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.


KDVT2 dianugerahkan kontrak pada 4 April 2018, iaitu dua hari sebelum Dewan Rakyat dibubarkan dan dirunding semula oleh PH dengan kos menaik taraf kemudahan infrastruktur dikurangkan sebanyak 15 peratus berbanding kos asal melebih RM5 bilion.


Bagaimanapun pada September 2020, MOT menamatkan kontrak KDVT2 menyebabkan Dhaya Maju LTAT memfailkan saman terhadap kerajaan, Wee, Opus Consultants (M) Sdn Bhd dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku responden.


Begitupun pada 3 Ogos lalu, Wee dalam kenyataan bertulis di Dewan Rakyat mengesahkan projek KDVT2 diteruskan semula dan dilaksanakan oleh kontraktor sama iaitu Dhaya Maju LTAT.


Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 29 Julai lepas dikeluarkan kepada syarikat tersebut berdasarkan perbincangan dengan MOF dan MOT.


Mengulas lanjut, Loke berkata keputusan meneruskan semula projek KDVT2 juga disifatkan membetulkan tuduhan kononnya PH menganugerahkan projek menerusi rundingan terus yang bernilai lebih RM6 bilion.


Daripada jumlah tersebut, Ahli Parlimen Seremban itu berkata sebanyak RM4.475 bilion adalah projek KDVT2 yang dirunding semula oleh PH bagi mengurangkan kos asal.


“Hakikatnya projek KDVT2 bukan kita yang anugerahkan, tetapi ia legasi ditinggalkan kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).


“Kita terpaksa selesaikan isu tersebut. Kenyataan MOF pada 26 Ogos menyenaraikan 101 rundingan terus. Wee kemudian nak jadi hero lepas dua hari MOF nyatakan projek itu adalah rundingan terus, dia keluarkan kenyataan pada 28 Ogos 2020. Ketika itu, dia kata tender akan dibuka sebagaimana dipersetujui oleh Kabinet secara tender terbuka.


“… Dengan jawapan pada hari ini, Tengku Zafrul, khususnya Wee telan balik air liur mereka.


Dia cakap begitu besar pada 2020 kononnya PH yang bagi rundingan terus, harga terlalu tinggi dan sebagainya. Semua ini, hari ini menunjukkan bahawa hujahan PH (berhubung tender rundingan terus) di Parlimen pada 2020 adalah terbukti betul. Hujah saya pada ketika itu betul, kalau tender terbuka termasuk projek KDVT2 ini, kosnya akan rendah,” katanya lagi.


Dhaya Maju LTAT merupakan syarikat usahasama Dyaha Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diperbadankan pada 5 Jun 2017 di bawah Akta Syarikat 2016.


Projek KDVT2 sepanjang 265 kilometer (km) itu meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, bernilai RM4.475 bilion.


Antara skop kerja KVDT2 adalah menggantikan landasan kereta api berusia 25 tahun dengan landasan baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen-stesen kereta api terbabit.


Sumber: Astro Awani

4 views
bottom of page