top of page

Kartel tender tutup peluang kontraktor kecil


KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pelaksanaan tender kerajaan secara 'cut-off' oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dilihat tidak lagi sesuai dan menyebabkan wujudnya kartel kawalan harga oleh kontraktor.


Keadaan tersebut menyebabkan berlaku ketidaktelusan dalam penerimaan projek dan mengakibatkan kontraktor kecil terpinggir untuk merebut tender kerajaan.


Menurut Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, isu kartel bukan suatu yang baharu malah sudah pun diutarakan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

“Kami amat menyokong tindakan MyCC menyiasat mana-mana agensi kerajaan untuk memastikan ketelusan bagi semua perolehan tender kerajaan.


“Keadaan seperti ini sering terjadi dalam tender atau kontrak kerajaan di dalam industri pembinaan negara terutama apa yang digelar kartel dalam kontrak pengurusan fasiliti atau penyeliaan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian selepas pendedahan MyCC berlakunya ‘komplot’ monopoli tender oleh kontraktor pembida sehingga menyebabkan ketirisan dana awam.


Menurut MyCC penalti RM1.92 juta dikenakan kepada lapan syarikat teknologi maklumat pada Mac lalu apabila menjadi kartel dalam beberapa tender yang ditawarkan oleh Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).


Tambah Azman, walaupun tawaran yang dikemukakan oleh kontraktor terhadap tender kerajaan adalah lebih rendah namun itu tidak menjamin kelulusan.


“Seperti biasa, peruntukan yang ditetapkan mengambil kira harga pasaran bahan binaan serta kos lain seperti jumlah pekerja yang diperlukan. Walau bagaimanapun, harga rendah dalam proses tender tidak menjamin tawaran akan berjaya.


“Ada kalanya hanya kontraktor yang mempunyai kepakaran tertentu akan diberi keutamaan walaupun tawaran yang dikemukakan melebihi peruntukan asal,” jelasnya.


Menurut beliau lagi, kontraktor bumiputera perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam projek mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Aliran Transit Massa (MRT).



176 views
bottom of page