top of page

'Kami nak tahu pelan mereka'


penduduk perumahan Taman Saujana Aman
AMIN Yaziz (kiri) bersama rakannya meninjau sekitar kawasan Taman Saujana Aman, Puncak Alam. FOTO Faiz Anuar

Puncak Alam: Tak hujan tapi banjir. Itu dihadapi lebih 300 penduduk perumahan Taman Saujana Aman, di sini, yang terpaksa berdepan masalah rumah dinaiki air dipercayai akibat masalah saluran sungai sempit.


Masalah itu didakwa berlaku lebih tiga tahun lalu hingga penduduk hilang sabar kerana isu sama yang tidak berkesudahan sehingga kini.


Wakil penduduk, Amin Yaziz Bani Yamin, 43, yang juga antara individu terawal menetap di situ berkata, hasil maklumat diterima mendapati masalah berpunca daripada saluran yang menjadi laluan bagi sungai berhampiran.


Akibatnya, ia tidak dapat menampung kapasiti air sungai yang akhirnya melimpah ke kawasan perumahan.


"Kawasan perumahan ini bermasalah sejak tahun pertama lagi cuma masalah air naik dan banjir ketara sejak 2019.


"Kali pertama setakat 0.1 meter saja kemudian semakin serius dengan yang terburuk pada Disember 2021 apabila kawasan perumahan ini jadi macam pulau.


"Sejak itu, berlaku beberapa lagi kejadian cuma yang peliknya bukan hanya waktu hujan. Hari tak hujan pun ada kalanya rumah kami dinaiki air hingga kami pun hairan," katanya.


Masalah itu menyebabkan Amin Yaziz tidak bersungguh membeli perabot dan perkakas rumah atau melakukan pengubahsuaian.


Bukan tidak mahu cuma dia enggan menanggung kerugian jika barangan dan perkakas rumah rosak jika rumah dinaiki air lagi.


"Nak beli sofa baru pun tak boleh selagi ada masalah ini, malah tingkat bawah rumah tiada kerusi dan duduk atas lantai saja selagi masalah tak selesai.


"Puas kami buat aduan kepada pihak berkuasa, mereka ada datang cuma tiada penyelesaian jangka panjang diambil.


"Sudah penat sebenarnya jadi saya harap pihak berwajib pandang serius kerana kami beli rumah di sini untuk duduk lama, bukan sementara," katanya.


Seorang lagi penduduk dikenali Hanif, 37, berkata, dia runsing memikirkan masalah yang berpanjangan sehingga kini.


Hanif mempersoalkan bagaimana pihak berwajib melakukan penilaian dan boleh memberi kelulusan kepada pemaju projek perumahan di situ.


"Selain masalah saluran sungai, kolam tadahan air kawasan perumahan ini juga penuh dengan lalang.


"Jadi, macam mana kolam nak berfungsi dengan baik dan tak jauh daripada situ ada taman permainan.


"Apabila air naik, ia melimpah sekali ke kawasan taman permainan hingga peralatan di situ berkarat.


"Sebagai penduduk, saya mohon pihak berwajib bertindak kerana sampai bila nak biarkan penduduk tanggung semua ini?" katanya.


Sementara itu, penduduk dikenali Sidek, 40, berharap pihak berwajib mengadakan pertemuan dengan penduduk bagi memberi penjelasan dan langkah penyelesaian yang sudah dan akan diambil.


"Kami nak tahu apa pelan jangka panjang mereka (pihak berwajib).


"Takkan setiap tahun begini kerana rata-rata kami berkeluarga jadi masalah jika rumah naik air ketika tiada di rumah," katanya.


Ikuti penjelasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok


Sumber: Harian Metro


bottom of page