
KUALA LUMPUR: Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam dijangka digunakan sekitar 300,000 penumpang apabila projek itu siap kelak.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jangkaan penumpang itu adalah anggaran penggunaan pada waktu kemuncak.
Beliau berkata, pembinaan stesen direalisasikan susulan isu yang pernah dibangkitkan gabungan 25 persatuan penduduk Puncak Alam ketika beliau turun padang ke Kuala Selangor pada Mei lalu.
"Saya membawa permintaan mereka untuk pertimbangan pihak bertanggungjawab dan Alhamdulillah, Puncak Alam bakal mempunyai stesen ECRL sendiri.
"Pemerkasaan pengangkutan awam sudah tentu akan memudahkan penduduk Kuala Selangor," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Mengenai jajaran ECRL berkenaan, Tengku Zafrul berkata, ia bukan saja bakal memanfaatkan penduduk Kuala Selangor, malah penduduk kawasan lain di Selangor.
Beliau berkata, jajaran ECRL itu kelak membabitkan Selangor iaitu Seksyen C akan dibahagikan kepada dua.
"Ia membabitkan Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.
"Jajaran ECRL bagi Seksyen C2 adalah sepanjang 74.25 kilometer (km) yang merangkumi empat stesen iaitu Serendah Baru (penumpang dan kargo), Puncak Alam (stesen penumpang), Kapar (stesen penumpang) dan Pelabuhan Klang (penumpang dan kargo).
"Insya-Allah sebahagian besar penduduk Selangor akan menerima manfaat daripada pembangunan ini," katanya.
Sumber: Berita Harian