KUALA LUMPUR: Kajian cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) domestik KL-Iskandar Puteri sudah siap dan sedia untuk diserahkan kepada Kabinet, demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, kajian HSR domestik itu adalah antara cadangan alternatif yang ditinjau kerajaan selepas pembatalan pembinaan HSR KL-Singapura.
"Kita meninjau HSR domestik antara KL-Iskandar Puteri. Kajian sudah siap dan sedia untuk dihantar kepada Kabinet," katanya pada Invest Malaysia 2021 Siri Maya 1 - Pembaharuan Ekonomi dianjurkan Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terkini projek HSR pada sesi soal jawab yang dikendalikan Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada persidangan secara maya itu.
Selain cadangan HSR KL-Iskandar Puteri, Mustapa berkata, terdapat juga cadangan projek HSR untuk menuju kawasan utara iaitu menghubungkan ke Bangkok, Thailand.
Namun, beliau berkata, cadangan HSR bagi laluan KL-Bangkok itu masih di peringkat sangat awal kajian.
Dalam ucapan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan laluan ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand dengan pembiayaan swasta yang membabitkan konsortium kewangan dalam negara.
Mengenai projek MRT3, Mustapa berkata, keperluan untuk membinanya sememangnya ada, tetapi model bagi melaksanakannya perlu dilihat secara teliti.
Beliau berkata, terdapat juga cadangan untuk MRT3 dibangunkan secara 'sederhana' berdasarkan keadaan kewangan semasa kerajaan.
Katanya, bagi kerajaan, apa yang penting ialah jumlah wang yang perlu disalurkan untuk menjayakan projek itu.
"Keperluan memang ada. Penggunaan pengangkutan awam kini pada paras 20 peratus dan kerajaan harap mencapai sekurang-kurangnya 40-50 peratus sejajar dengan konteks pembangunan lestari dan agenda hijau iaitu mengurangkan pelepasan karbon.
"Bagaimanapun, kita perlu melihat implikasi kewangan kepada kerajaan. Bagaimanapun, apabila situasi ekonomi pulih, kemudian kita akan melihat semula beberapa projek ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments