top of page

Kaedah baru kukuh binaan


Kaedah baru kukuh binaan Harian Metro www.hmetro.com.my
KERJA-KERJA pembinaan bongkah khas diperbuat daripada polistirena untuk mengelakkan ban pecah di Tanjong Karang.

Tanjong Karang: Kerajaan Selangor menggunakan bongkah khas diperbuat daripada polistirena bertujuan menstabilkan ban daripada pecah semula.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kaedah baharu ini mampu mengatasi banjir di kawasan itu.


"Malah, ia sudah digunakan di beberapa lokasi yang mengalami bencana banjir antaranya Sungai Lui dan Sungai Buah, Hulu Langat.


"Bongkah polistirena ini memang ada dijual untuk kerja-kerja pengukuhan tapak di kawasan tanah lembut dan ia tidak terpakai kepada ban sahaja," katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan luahan penduduk sekitar Jalan Kilang Padi, Kampung Tok Adam, Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Sungai Kajang di sini yang mahu pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian jangka panjang berhubung masalah ban pecah di kawasan itu, yang menyebabkan kejadian banjir.


Penduduk mendakwa masalah itu berlaku akibat pembinaan ban sungai yang tidak kukuh selain perubahan cuaca dan fenomena air pasang besar.


Izham berkata, kaedah ini juga digunakan untuk pembinaan jalan raya di atas tanah yang sama pernah digunakan sebelum ini.


Menurutnya, bentuk polistirena yang khas disusun seperti bata bertujuan menguatkan ban.


"Bahan terapung ini akan jadi penghalang air dari memecahkan ban. "Untuk itu, ia akan diperluaskan ke kawasan tanah lembut secara berperingkat bagi mengelakkan kejadian ban pecah berulang," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, kejadian ban pecah yang berlaku di Tanjong Karang bulan lalu disebabkan kawasan itu adalah tanah liat marin (marine clay).


Sumber: Harian Metro


19 views
bottom of page