top of page

Kaedah baharu pelaksanaan projek sakit Loji Rawatan Air Bukit Selambau sedang diperhalusi - Fadillah


Kaedah baharu pelaksanaan projek sakit Loji Rawatan Air Bukit Selambau sedang diperhalusi - Fadillah
Gambar hiasan: Loji rawatan air

Kaedah baharu pelaksanaan projek sakit Loji Rawatan Air Bukit Selambau sedang diperhalusi - Fadillah

KUCHING : Kaedah baharu pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau di Kedah sedang diperhalusi bagi memastikan projek tertangguh itu dapat disiapkan segera.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau masih menunggu laporan penuh daripada Timbalan Menteri, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berhubung status sebenar projek berkenaan.


Beliau berkata, Akmal Nasrullah sudah mengadakan lawatan dan memantau LRA berkenaan yang kini dikategorikan sebagai projek sakit.


"Pelaksanaan projek berkenaan kini lewat daripada jadual sehingga menjadi projek sakit dan selepas mendapat laporan penuh daripada timbalan menteri, saya akan mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian.


"Ia sama ada kontraktor perlu ditamatkan atau ada kaedah baharu yang menjamin projek itu dapat diselesaikan," katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Ang Pau dan Sumbangan Tahun Baru Cina kepada Warga Emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Matang di Dewan SUPP Sungai Tengah di sini, hari ini.


Projek menaik taraf LRA di Bukit Selambau, yang sudah diberi lanjutan tempoh masa (EOT) sepatutnya siap tahun lalu, namun sehingga kini ia masih gagal disiapkan.


Kegagalan kontraktor menyiapkan kerja menaik taraf LRA di Bukit Selambau menyukarkan rakyat di Kedah terutama pengguna air di daerah Kuala Muda.


Sementara itu, mengenai projek tebatan banjir di Sarawak, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, proses tawaran tender sedang dijalankan untuk projek pembinaan terusan di Kuching serta projek tambahan di Sibu.


Bagaimanapun, katanya, projek itu akan dilaksanakan secara berfasa, bergantung kepada jumlah peruntukan yang diterima.


"Terusan di Kuching akan dibina bagi mengalirkan air Sungai Sarawak keluar ke kawasan Sungai Salak.


"Ia bagi mengatasi banjir di Kuching iaitu mengelak air terkumpul di Sungai Sarawak akibat pertembungan air laut pasang besar dan hujan lebat di kawasan hulu sungai," katanya.


Beliau berkata, projek pam air di Sibu yang dilaksanakan sebelum ini ternyata berkesan mengatasi masalah banjir di sebahagian besar kawasan di bandar terbesar di wilayah tengah Sarawak itu.


"Namun ada beberapa projek lain dirancang bagi mengatasi sepenuhnya banjir di Sibu," katanya.

Sumber: Berita Harian


Kaedah baharu pelaksanaan projek sakit Loji Rawatan Air Bukit Selambau sedang diperhalusi - Fadillah

bottom of page