top of page

Kadar penyewaan kompleks beli-belah, pejabat terjejas


Kadar sewa untuk pejabat dan ruang runcit di Lembah Klang menurun selama empat suku berturut-turut - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar penghunian dan penyewaan kompleks membeli-belah dan ruang pejabat terus menghadapi tekanan penurunan pada separuh pertama tahun ini.


Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan, ia dijangka tidak akan meningkatkan risiko terhadap kestabilan kewangan berikutan pendedahan pinjaman bank langsung yang agak terhad ke atas hartanah pejabat, runcit, selain daripada amalan pinjaman yang konservatif.


Walaupun bekalan masuk adalah lebih rendah susulan beberapa pembatalan dan penangguhan projek, kadar kekosongan di sektor hartanah komersial meningkat di semua negeri utama dengan selesainya beberapa pembangunan hartanah komersial akibat permintaan lemah yang berterusan.


"Rata-rata kadar sewa untuk pejabat dan ruang runcit di Lembah Klang kini telah menurun selama empat suku berturut-turut sejak suku ketiga 2020.


"Walaupun terdapat pelbagai pelepasan sewa, separuh daripada pengendali pusat membeli-belah melaporkan kesukaran untuk mendapatkan bayaran daripada penyewa mereka," menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 yang dikeluarkan hari ini.


Ia akan terus memberi kesan buruk kepada aliran tunai pemilik pusat membeli-belah, terutama ke atas kompleks membeli-belah yang terletak di lokasi bukan perdana dengan kadar kekosongan yang lebih tinggi.


"Kadar kekosongan mungkin akan terus bertambah dan ini memberikan tekanan seterusnya kepada sewa akibat perubahan struktur yang berpunca daripada pandemik, termasuk pengaturan kerja yang fleksibel dan perubahan dalam pola perbelanjaan pengguna yang sekarang ini yang lebih suka berbelanja dalam e-dagang," kata BNM.


Berakhirnya perlindungan di bawah Akta COVID-19 2020 yang melarang penyewa hartanah komersial yang tidak mampu membayar daripada diusir dari premis yang diduduki boleh menjejaskan lagi kadar penghunian.


"Walaupun ini dijangka tidak meningkatkan risiko terhadap kestabilan kewangan susulan pendedahan pinjaman bank langsung yang terhad terhadap hartanah pejabat serta runcit (3.1 peratus daripada pinjaman sistem perbankan) dan amalan pinjaman bank yang konservatif, kesan gelombang terhadap ekonomi secara meluas akan meningkatkan risiko kepada bank," katanya.


Program bantuan pembayaran balik termasuk langkah sokongan oleh kerajaan dan BNM, setakat ini telah mampu mengekang peningkatan ketara dalam mungkir, dengan keseluruhan nisbah penurunan nilai pinjaman perniagaan kekal stabil pada 2.7 peratus.


Bank kekal bersiap sedia untuk mungkir yang lebih tinggi dan terus menyediakan peruntukan bagi menangani sebarang kemungkinan kerugian kredit yang berlaku apabila langkah-langkah sokongan akhirnya tidak mampu dilaksanakan, kata BNM.


Di samping itu, di bawah senario simulasi jika ekonomi terus menurun dan ketiadaan campur tangan ke atas dasar, bank dijangka akan kekal berdaya tahan walaupun jika perniagaan terus meleset sehingga tiga kali ganda daripada tahap semasa menjelang hujung 2022, katanya dalam laporan itu. -BERNAMA


Sumber: Berita Harian

5 views
EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page