top of page

K-KOM gesa syarikat telekomunikasi tingkatkan capaian jalur lebar


K-KOM gesa syarikat telekomunikasi tingkatkan capaian jalur lebar Kosmo www.kosmo.com.my
Gambar hiasan: K-KOM gesa syarikat telekomunikasi tingkatkan capaian jalur lebar

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menggesa syarikat telekomunikasi tempatan meningkatkan segera kualiti capaian jalur lebar demi kemudahan hidup rakyat.


Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, berdasarkan audit dilakukan baru-baru ini, masih terdapat sesetengah lokasi merekodkan kualiti capaian yang kurang baik.


“Dapatan audit itu mendedahkan sebanyak 94 Notis Pematuhan dan tiga Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar yang baik kepada pengguna.


“Saya sudah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memantau dan membuat audit kualiti perkhidmatan capaian internet yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan setiap masa,” katanya pada sidang akhbar hari ini.


Dalam pada itu, Annuar berkata, pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi suku kedua 2022 menunjukkan hasil memberangsangkan dan berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penuh Fasa 1 JENDELA.


Menurutnya, pencapaian paling ketara adalah jumlah premis yang dilengkapi dengan rangkaian gentian optik sejak bermulanya pelaksanaan pelan JENDELA.


“Dalam pada itu, saya mengalakkan orang ramai untuk memanfaatkan infrastruktur ini dan melanggan perkhidmatan jalur lebar tetap berkelajuan tinggi supaya dapat menikmati pengalaman Internet yang baik.


“Selain itu, Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 28 Jun lalu juga telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos, Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi di negeri-negeri,” ujarnya.


Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, K-KOMM telah memulakan pelaksanaan projek Point-of-Presence (POP) Fasa Pertama yang menyasarkan 677 hab rangkaian gentian optik titik kehadiran (POP) di sekolah dan kawasan perindustrian menjelang penghujung 2022.


“Sebanyak 100,000 permohonan bagi Pakej Peranti Siswa fasa pertama juga sudah diterima manakala permohonan bagi fasa kedua telah dibuka pada 1 Ogos lalu.


“Kerajaan juga amat prihatin terhadap golongan pelajar kalangan B40 dan berharap inisiatif Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia yang dilaksanakan ini akan dimanfaatkan sebaiknya,” katanya.


Sumber: Kosmo!


6 views

Comments


bottom of page