top of page

JPNT nafi lewat kemuka laporan kerja baik pulih sekolah daif


KUALA TERENGGANU 22 Jan. - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menafikan dakwaan kononnya kelewatan jabatan itu mengemukakan laporan kerosakan menyebabkan kerja-kerja membaik pulih pelbagai kerosakan sekolah daif termasuk bilik darjah tidak dapat dilaksanakan.


Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata, berdasarkan rekod, JPNT tidak pernah gagal menghantar laporan setiap dua bulan sekali kepada Kementerian Pendidikan hasil pemantauan yang dibuat.


Sehubungan itu, katanya, tidak timbul sebarang isu tiada pelaporan daripada jabatan itu sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar kerana kuasa penamatan terletak kepada kementerian.


"Pada tahun ini, kita belum menerima sebarang kelulusan senarai projek sekolah daif kerana semua projek tahun 2019 adalah seperti amalan tahun sebelumnya yang akan ditentukan oleh pihak kementerian dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).


"Laporan secara dalam talian oleh sebuah akhbar kurang tepat kerana tidak memahami isu sebenar projek sekolah daif di Terengganu dan saya harap dengan penerangan ini memberi kefahaman kepada orang ramai," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Online, di sini hari ini.


Semalam, laporan akhbar itu menggesa Unit Pembangunan JPNT menyegerakan laporan termasuk peruntukan keseluruhan yang diperlukan untuk kerja membaik pulih kerosakan bangunan sekolah bagi dikemukakan dan disahkan oleh JKR.


Shafruddin memberitahu, JPNT menerima 21 projek sekolah daif pada tahun 2017 dan 2018 dengan 15 daripadanya yang dilaksanakan tahun lalu oleh JKR membabitkan kos RM18.8 juta telah selesai 100 peratus.


Bagaimanapun, katanya, enam projek sekolah daif pada tahun 2017 di bawah kendalian konsultan yang berjumlah RM8.4 juta menghadapi masalah kerana empat lagi projek belum dapat disiapkan.


"Setakat ini Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Marang, SK Sri Iman dan SK Bukit Cempaka sudah siap 99 peratus manakala SK Kebor Ayer 80 peratus," katanya.


Sumber: Utusan


65 views
bottom of page