top of page

Jom Masuk Kolej Vokasional tawar 9 program kemahiran


Pihak industri memberikan taklimat OJT kepada pelajar dan lepasan DVM yang menawarkan tempat praktikal kepada pelajar KVSB. - Ihsan KV Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Pelajar yang meminati pendidikan kemahiran dipelawa memohon tempat di Kolej Vokasional Sungai Buloh (KVSB) yang menawarkan sebanyak sembilan program menerusi Program Jom Masuk Kolej Vokasional (KV) di institusi itu.


Program yang ditawarkan ialah Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, Teknologi Pembinaan, Teknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Teknologi Maklumat (Sistem Rangkaian) dan Perakaunan.


Ketua Unit Perhubungan Latihan dan Industri KVSB, Saliza Mohd Abd Wahab, berkata Program Jom Masuk KV itu diadakan serentak dengan Job Fair.


"Program Jom Masuk KV bertujuan mendedahkan program yang disediakan oleh KVSB kepada pihak bimbingan dan kaunseling dan pelajar sekolah menengah kebangsaan di negeri ini serta komuniti setempat.


"Ia juga bagi mendedahkan maklumat dan peluang pendidikan vokasional serta kerjaya dalam bidang kemahiran khususnya bagi pelajar lepasan PT3.


"Selain itu, program ini bertujuan mewujudkan hubungan baik antara KVSB dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, sekolah-sekolah seluruh Selangor dan komuniti setempat," katanya.


Program Jom Masuk KV dan Job Fair yang diadakan kali kedua itu bertempat di Dewan Murni, blok akademik dan bengkel di KVSB, di sini, hari ini.


Program itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Menteri Luar Bandar, R Naveen Kularasa.


Saliza berkata, objektif penganjuran Job Fair pula bagi menyediakan tempat kepada pelajar untuk permohonan On-the-job Training (OJT) dan lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk temu duga terbuka bagi pekerjaan tetap.


"Ia juga memberi peluang kepada syarikat dan industri untuk membuat permohonan dan menemuduga pelajar yang berminat untuk OJT dan lepasan DVM untuk memohon pekerjaan tetap.


"Selain itu, program ini memudahkan pelajar mencari tempat OJT yang bersesuaian dengan skop kerja malah membuka peluang kepada pelajar DVM mencari pekerjaan tetap.


"Program ini juga sebagai menghargai syarikat dan industri yang menjalinkan hubungan kerjasama dan MOU dengan KVSB," katanya.


Beliau berkata, sebanyak 15 agensi membabitkan IPTS, IPTA, Institusi Latihan Kolej Swasta (ILKS), Institusi Latihan Kolej Awam (ILKA) dan agensi lain hadir bagi memberi pendedahan dan taklimat mengenai peluang menyambung pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah.


"Antaranya, KV Kajang, KV Kuala Selangor KV Gombak, Institut Kemahiran Tinggi, Universiti Kuala Lumpur, (UNIKL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)," katanya.


Sementara itu, Saliza berkata, sebanyak 17 wakil syarikat dan industri hadir bagi mengadakan temuduga terbuka untuk pelajar OJT dan menawarkan pekerjaan tetap kepada lepasan KV.


"Antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Salphy Pharmacy Sdn Bhd, Telaga Biru Sdn Bhd, Hong Leong Bank, Telekom Malaysia, Top Gloves Sdn Bhd dan banyak lagi.


"Kerjasama dengan syarikat dan industri ini memberi peluang kepada semua pelajar Tahun Dua DVM melaksanakan OJT di syarikat dan industri berkenaan,” katanya.



33 views
bottom of page