top of page

Johor sesuaikan PKPB dengan PBT negeri


Gambar fail, Ayub Jamil (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan Operasi Sanitasi Awam di Pusat Latihan Teknologi Tinggiv (ADTEC) Batu Pahat. - Foto Essa Abu Yamin

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menyelaraskan keupayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor mengikut keperluan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan keadaan di negeri ini sentiasa terkawal.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil, berkata umum mengetahui, dalam tempoh PKPB itu, banyak perniagaan dan kilang dibenarkan beroperasi seperti sedia kala selain beberapa syarat dilonggarkan sedikit berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 dan 2.


Katanya, setiap kelonggaran itu bagaimanapun harus mengikuti garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan perkara itu sudah pun diteliti dari semua aspek.


"Bagi Johor, walaupun setuju untuk melaksanakan PKPB, ia akan diselaras dengan keupayaan yang ada membabitkan tahap penguat kuasa dan kawalan agensi-agensi terbabit supaya usaha PKP dilaksanakan sejak lebih sebulan lalu tidak gagal.


"Kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan penguatkuasaan bersepadu sentiasa terjalin antara PBT, Jabatan Kesihatan Negeri menerusi Pejabat Kesihatan Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), MKN dan agensi yang berkaitan.


"Sebagai persediaan, di peringkat kerajaan tempatan dianggarkan seramai 1,681 petugas barisan hadapan daripada semua PBT di negeri itu akan membantu dalam operasi pemeriksaan pematuhan SOP terhadap premis perniagaan atau kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi," katanya pada kenyataan hari ini.


Ayub berkata, kelulusan pengoperasian industri oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di negeri ini juga akan disesuaikan pelaksanaannya mengikut keperluan PBT kawasan masing-masing.


Katanya, ia antara pendekatan diambil untuk menjelaskan bagaimana sesebuah premis atau kilang itu boleh dibenarkan beroperasi.


"Pengoperasian industri hendaklah mematuhi SOP seperti peraturan penjarakan sosial, penggunaan pembasmi kuman, pembersihan, sanitasi, penjagaan jarak pelanggan (satu meter), pengambilan suhu badan dan pemakaian pelitup muka.


"Dalam langkah penyesuaian ini, kerajaan negeri menerusi PBT dibenarkan untuk mengambil tindakan penutupan operasi kepada mana-mana pihak atau pemain industri ini didapati ingkar syarat MKN dan ia sebagai langkah berwaspada bagi memastikan PKPB dibuat tidak diambil mudah," katanya.


Katanya, bermula 21 Mac hingga 3 Mei lalu, sebanyak 128,705 pemeriksaan sudah dilaksanakan PBT di Johor ke atas pelbagai premis perniagaan, pusat hiburan, pasar awam, kilang dan tapak pembinaan dalam memastikan pematuhan industri atau sektor ekonomi kepada arahan PKP.


"Daripada jumlah itu, sebanyak 8,033 amaran lisan, 6,892 notis amaran bertulis, 158 tawaran kompaun dan 230 tindakan sitaan sudah dilakukan bagi keseluruhan operasi pemeriksaan berkenaan. Semestinya, usaha ini akan terus dijalankan bagi memastikan keadaan di Johor sentiasa terkawal," katanya.



17 views

Comentários


bottom of page