top of page

Johor sedia RM42 juta selenggara infrastruktur, elak banjir berulang


Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)
OPERASI mengepam banjir termenung yang dilakukan di Kampung Parit Kumbang di Parit Raja, Batu Pahat.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memperuntukkan RM42 juta tahun ini bagi kerja penyelenggaraan pelbagai infrastruktur dalam menangani banjir daripada terus berulang pada masa depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, infrastruktur itu melibatkan sungai, parit, pembetung, pintu air, pantai dan jalan ladang di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


Menurutnya, kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan RM2.49 juta bagi fasa pertama tahun ini untuk pelaksanaan kerja-kerja mengurangkan risiko banjir di lokasi yang telah dikenal pasti.


“Itu merupakan antara langkah jangka masa pendek diambil JPS Malaysia sebagai persediaan menghadapi kemungkinan bencana banjir sementara menunggu projek tebatan banjir siap sepenuhnya,” katanya dalam sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.


Dalam pada itu, Raven Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh turut memberitahu, kerajaan negeri telah menggerakkan 69 unit pam air bergerak ke tujuh daerah dengan 41 buah di Batu Pahat yang paling terjejas akibat banjir termenung.


Menurut beliau, pam air tersebut digerakkan ke tujuh daerah yang teruk terjejas dengan 41 unit digerakkan ke Batu Pahat bagi mengepam banjir termenung.


Dalam pada itu, beliau turut berkata, sektor pelancongan negeri ini telah menerima tiga anugerah sepanjang tahun lalu, iaitu ‘Gold Award Tourism Apps’ bagi Aplikasi Johor Tourism Interchange (JTI), ‘Gold Award Attractive State Tourism Event’ bagi Majestic Johor Festival (MJF) 2022 dan pengiktirafan Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai ASEAN Heritage Park yang ke-51.


Raven Kumar berkata, kerajaan negeri juga telah melancarkan Pelan Perancangan Strategik Pelancongan Johor 2023-2027 untuk dijadikan panduan bagi pelaksanaan serta pemantauan untuk memastikan Johor menjadi destinasi pelancongan utama di negara ini.


Sumber: Utusan


14 views
bottom of page