top of page

Johor saran wujud 'taskforce' atasi banjir kilat di jalan, lebuh raya


Johor saran wujud 'taskforce' atasi banjir kilat di jalan, lebuh raya Harian Metro www.hmetro.com.my
Gambar hiasan: Johor saran wujud 'taskforce' atasi banjir kilat di jalan, lebuh raya

Johor Bahru: Kerajaan negeri menyarankan satu pasukan petugas (task force) diwujudkan dengan kerajaan persekutuan bagi mengatasi isu banjir kilat membabitkan jalan raya di Bandaraya Johor Bahru dan Lebuhraya Pasir Gudang.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja selenggara longkang dan saliran yang sudah dimulakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sejak tiga bulan lalu tidak membantu menyelesaikan masalah untuk tempoh jangka panjang.


"Ia hanya penyelesaian jangka pendek sahaja.


"Isu banjir kilat di jalan utama seperti Jalan Tebrau dan Lebuhraya Pasir Gudang bukan hanya membabitkan PBT, tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


"Sebagai contoh di Bandaraya Johor Bahru tanah (jalan) lebih rendah dari paras laut, banyak pembetung yang melintas jalan sudah terlalu lama, ada yang usianya lebih 30 tahun.


"Pembangunan semakin meningkat tetapi pembetung di bawah jalan JKR ini tidak pernah dinaik taraf.


"Kita sudah kenal pasti isu ini (dan) ia memerlukan peruntukan besar," katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa ribut di Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini, semalam.


Mohd Jafni berkata, peruntukan dari kerajaan negeri dan PBT sahaja tidak mencukupi, tetapi kerajaan negeri memerlukan bantuan dari peringkat persekutuan untuk menyelesaikan isu ini.


"Ini bukan bajet RM200,000 tetapi berjuta. Mahu atau tidak kita mohon peringkat persekutuan lihat isu banjir kilat di Johor Bahru untuk dibuat satu 'taskforce'.


"Kita tak boleh lihat buat kerja sendiri, PBT, JKR dan JKR. Kita perlu gabungkan tiga agensi yang ada ini dengan peruntukan dari kerajaan Persekutuan dan ia perlu selaras," katanya.


Semalam, kejadian hujan lebat berterusan selama dua jam sejak jam 1 tengah hari mengakibatkan beberapa kawasan termasuk Lebuhraya Pasir Gudang di sini dinaiki air.


Selain Lebuhraya Pasir Gudang, susur keluar dan masuk ke Bandar Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi turut dinaiki air akibat banjir kilat.


Sumber: Harian Metro


4 views

Comments


bottom of page