top of page

Johor sambut baik sambung perbincangan projek HSR



JOHOR menyambut baik keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura yang bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura yang tertangguh beberapa kali sebelum ini.


Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, pihaknya sentiasa menyokong projek berimpak tinggi dan pro rakyat seperti HSR.


Katanya, beliau yakin projek seumpama itu bakal membawa manfaat dan limpahan ekonomi yang besar bagi kedua-dua negara, termasuk Johor.


"Apabila dilaksanakan nanti, projek HSR akan turut menyumbang terhadap pembangunan negeri Johor, khususnya di daerah yang terbabit di sepanjang jajaran laluannya.

"Malah, perkhidmatan HSR akan meningkatkan jaringan dan memperkemaskan kecekapan sistem pengangkutan di negara dan negeri ini.


"Kita percaya pelaksanaan dan pembinaan projek HSR turut dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sama ada bagi pekerja berkemahiran tinggi, sederhana dan bawahan warga tempatan," katanya dalam kenyataan di Johor Bahru, hari ini.


Hasni berkata, pembangunan pesat di kawasan itu juga pasti membawa limpahan ekonomi kepada daerah dan penduduk setempat, termasuk golongan peniaga kecil dan menambah pendapatan mereka.


"Walaupun Kerajaan Malaysia-Singapura bersetuju menangguhkan keputusan mengenai projek itu hingga 31 Disember depan, namun saya yakin dalam tempoh itu lebih banyak pertemuan dan perbincangan untuk memperhalusi aspek teknikal dan komersial dijalankan.


"Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama dan bantuan sebaik mungkin yang diperlukan bagi merealisasikan projek berkenaan," katanya.


Untuk rekod, sebelum ini kedua-dua negara bersetuju meneruskan projek itu walaupun dalam skala lebih kecil bagi mengurangkan kos, termasuk kelajuan kereta api berkenaan.


Sumber: Harian Metro


31 views
bottom of page