top of page

Johor peruntukkan RM113 juta selenggara sungai, saliran


Johor peruntukkan RM113 juta selenggara sungai, saliran Harian Metro www.hmetro.com.my
KEADAAN Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor tahun lalu. FOTO Arkib NSTP/ NUR AISYAH MAZALAN

Iskandar Puteri: Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM113 juta bagi penyelenggaraan sungai dan saliran bagi mengurangkan risiko banjir dan banjir kilat, di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).


Katanya, peruntukan banjir itu berikutan banjir yang berlaku hampir setiap tahun telah menyebabkan kerosakan harta benda dan mengancam keselamatan orang awam.


"Sebanyak RM71 juta peruntukan menerusi JPS serta PBT disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran yang membabitkan kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.


"Seterusnya, sebanyak RM42 juta diperuntukkan kepada JPS bagi kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran.


"Kira-kira RM700,000 juga akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023, di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz berkata, berdasarkan semakan data terkini daripada JPS, terdapat 432 'hotspot' banjir yang dikenal pasti di seluruh Johor.


Katanya, Johor juga akan menumpukan kepada inisiatif Program Pemuliharaan Sungai.


"Kerajaan Johor sentiasa prihatin dalam memelihara dan memulihara sungai supaya berada dalam keadaan yang bersih.


"Untuk tujuan itu, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi kerja pemuliharaan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, projek Denai Sungai dan pelaksanaan Program 1 Daerah 1 Sungai.


"Pada 2019, Sungai Kim Kim mengalami pencemaran yang kritikal. Justeru itu, peruntukan sebanyak RM300,000 disediakan bagi meneruskan usaha pemuliharaan Sungai Kim-Kim supaya ia terus lestari dan mengelakkan insiden pencemaran ini berulang kembali," katanya.


Sumber: Harian Metro


3 views

Comments


bottom of page