top of page

JKR Perak nafi kenderaan rasmi pengarah diguna keluarga


JKR Perak nafi kenderaan rasmi pengarah diguna keluarga Berita Harian www.bharian.com.my
JKR Perak menafikan dakwaan kenderaan rasmi milik pengarahnya digunakan bagi tujuan hal berkaitan keluarga. Foto daripada video tular

IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak tampil menafikan dakwaan kenderaan rasmi milik pengarah jabatan itu digunakan bagi hal berkaitan peribadi bersifat kekeluargaan seperti video tular berlegar di media sosial TikTok dan Twitter sejak kelmarin.


Pejabat Pengarah JKR Perak menerusi kenyataan rasmi hari ini berkata, Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali tidak mengenali individu tertera sebagaimana video tular terbabit, selain menegaskan kenderaan ditonjolkan dalam video itu bukan kenderaan rasminya.


"Merujuk kepada penularan video terbabit yang disebarkan pada 26 Julai lalu (kelmarin), Pengarah JKR Perak tidak mengenali individu terbabit dan kenderaan dipaparkan bukan kenderaan rasmi Pengarah JKR Perak.


"Kenderaan rasmi pengarah adalah Honda Accord," katanya.


Kata kenyataan itu lagi, susulan dakwaan menerusi video terbabit, siasatan akan dijalankan supaya tindakan seterusnya dapat diambil.


Menerusi video itu, kelihatan visual sekeping gambar memaparkan kenderaan jenis pikap berwarna hitam dengan logo JKR tertulis Ibu Pejabat Perak Darul Ridzuan yang mana visual itu turut disertakan serangkap tulisan individu yang menyiarkan video.


Tulisan dimuat naik itu menerangkan maksud bahawa bapa saudara kepada pemuat naik video terbabit adalah Pengarah JKR Perak yang datang melawatnya, pada masa sama ibu kepada pemuat naik video berkenaan perlu segera pulang ke rumah daripada berjumpa rakan.


Dengan keterangan tulisan sama, video itu kemudian disusuli visual bergerak memaparkan seorang wanita merakam ruang dalaman sebuah kenderaan dipandu seorang lagi wanita dipercayai ibu kepada perakam video terbabit.



22 views
bottom of page