top of page

JKR diarah buat pembaikan infrastruktur segera



Kota Kinabalu: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah mempercepatkan kerja pembaikan jalan dan jambatan runtuh di beberapa laluan utama berikutan hujan lebat berterusan di kawasan pantai barat dan pedalaman negeri ini sejak beberapa hari lalu.


Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau sudah meminta Pengarah JKR negeri Datuk Ir Richard Jomiji Kinsil dan jurutera daerah di kawasan yang terjejas untuk memantau dan melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.


Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan penduduk tidak berdepan masalah perhubungan selain menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan terbabit.


"Sekiranya jalan raya itu di bawah jagaan syarikat konsesi, mereka diminta mengambil langkah proaktif untuk membersihkan dan membaik pulih runtuhan dengan segera," katanya.


Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata demikian ketika mengulas kejadian tanah runtuh dan banjir yang menyebabkan laluan terputus di beberapa daerah, semalam berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.


Antara laluan terjejas akibat tanah runtuh ialah di Jalan Tamparuli-Kiulu dan Jalan Tamparuli-Ranau berdekatan Taman Kinabalu dan simpang Kampung Bundu Tuhan manakala satu kejadian jambatan runtuh akibat arus deras dilaporkan di Malangkap, Kota Belud.


Menurutnya, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada masalah banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan khususnya di sekitar ibu negeri dan daerah berhampiran.


"Saya akan melakukan tinjauan untuk melihat sendiri punca sebenar kejadian banjir kilat di kawasan terbabit supaya kita dapat menentukan tindakan yang betul bagi mengatasi masalah itu," katanya.


Beliau berkata, antara yang akan diberi perhatian ialah usaha menaik taraf sistem perparitan sebagai langkah mengatasi banjir kilat di kawasan yang sering terjejas.


Katanya, sistem perparitan sedia ada kebanyakannya tidak mampu mengalirkan air dengan baik menyebabkan air mudah melimpah setiap kali hujan lebat.


"Banjir yang melanda ekoran hujan lebat agak luar biasa. Selain beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dilanda banjir kilat, beberapa daerah lain seperti di Kota Belud dan Tuaran turut mengalami banjir yang serius," katanya.


Bung Moktar berkata, beliau akan membincangkan tindakan segera untuk mengatasi masalah itu dengan Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan.


Menurutnya, beliau juga akan meneliti beberapa faktor lain seperti pembinaan jalan raya dan aktiviti pembangunan yang dikenal pasti turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat.


"Kita minta pemaju dan kontraktor yang terbabit dalam kerja pembinaan agar memastikan sistem perparitan dibina dengan baik dan memastikan tiada aliran yang tersekat," katanya.


Semalam, beberapa kawasan rendah di sekitar ibu negeri, Tuaran, Penampang dan Kota Belud dilapor mengalami banjir kilat yang menjejaskan ribuan penduduk selain pengguna jalan raya di kawasan terbabit.


Beberapa penduduk di Kota Belud juga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara atas faktor keselamatan.


Sumber: Harian Metro


95 views
bottom of page