top of page

JKR bertindak tangani masalah


JKR bertindak tangani masalah

JKR bertindak tangani masalah

Bangi: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera susulan aduan penduduk mengenai masalah lampu isyarat selepas Plaza Tol Putra Mahkota di sini, yang menyebabkan kesesakan.


Tidak hanya menyelesaikan isu masa bagi pertukaran lampu isyarat itu, JKR juga cuba melaksana penambahbaikan bagi memastikan keselesaan pengguna jalan.


Jurutera Fasiliti Bahagian Senggara JKR Hulu Langat, Ir Razmann Abdul Rashid ketika berkata, aduan penduduk tidak diabaikan sebaliknya, tindakan diambil mengikut kesesuaian dan selepas penelitian.


"Memang kita pernah dapat aduan masalah lampu isyarat di situ. Kemudian kita sudah betulkan membabitkan masa (pertukaran) lampu isyarat. Kita tahu, pagi dan petang adalah waktu puncak.


Namun, beberapa hari selepas kita panjangkan masa iaitu di laluan masuk dan keluar tol, dapat pula aduan membabitkan laluan ke kiri dan kanan.


Selepas dah beberapa lama, orang boleh terima...tidak ada masalah. Cuma, baru-baru ini sahaja berlaku (elektrik) 'trip' sebab hujan, jadi masa kembali ke asal. Kita sudah betulkan pada hari sama juga," katanya.


Razmann berkata, masa pertukaran lampu isyarat itu dipanjangkan menjadi antara 85 hingga 110 saat, yang ditetapkan pada waktu puncak dan tidak pada waktu malam.


"Penetapan masa pada waktu puncak adalah solusi terbaik buat masa ini. Cumanya, kalau pada waktu malam, masa tidak sama, ia lebih pendek sebab ini jalan utama," katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya masalah kesesakan berulang, ia di luar kawalan pihaknya memandangkan langkah penyelesaian sewajarnya sudah diambil. Kiranya, kalau berlaku juga kelewatan dan kesesakan, itu di luar kawalan kami. Mungkin faktor pertambahan kenderaan yang ingin keluar masuk," katanya.


Beliau turut mengakui pembangunan di kawasan itu yang semakin pesat dan dimaklum mengenai laluan alternatif lain yang sedang dibangunkan pihak pemaju perumahan.


Katanya, jika langkah itu benar-benar dilaksana, ia akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.


Harian Metro semalam melaporkan keluhan penduduk Bandar Seri Putra mengenai persimpangan lampu isyarat selepas Plaza Tol Putra Mahkota yang didakwa menyebabkan kesesakan terutama pada waktu puncak.


Pengguna persimpangan itu termasuk penduduk menghuni kejiranan Bukit Mahkota, Bandar Puteri dan Bangi Avenue, selain menjadi laluan buat mereka yang menuju Jalan Bangi Lama, Semenyih, Kajang dan Nilai 3, Negeri Sembilan.


Sumber: Harian Metro


JKR bertindak tangani masalah

bottom of page