top of page

JIM gempur tapak pembinaan haram, tahan 309 PATI


Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi JIM di tapak pembinaan rumah di Dengkil malam tadi. Foto FAIZ ALIF

SEPANG- Jabatan Imigresen (JIM) menggempur sebuah kawasan tapak pembinaan rumah kediaman pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilengkapi kedai mini menjual barangan basah dan kering dalam satu operasi bersepadu malam tadi.


Perumahan yang dibina berhampiran lombong itu juga lengkap dengan bekalan elektrik dan air yang dipercayai disambung secara haram bagi kegunaan harian PATI terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Nepal, Indonesia, India dan Vietnam.


Turut dibina di perkampungan haram berkenaan ialah kedai kopi serta kawasan santai untuk mereka berehat.


Namun aktiviti harian mereka terbongkar selepas 309 daripada 715 yang diperiksa, ditahan dalam operasi bersepadu JIM bersama agensi penguatkuasaan lain selepas mendapat aduan dan maklumat masyarakat setempat.


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia seramai 193 orang, Bangladesh (102), Myanmar (lapan), Vietnam (empat) dan India (dua) yang kesemuanya berumur antara 20 hingga 52 tahun.


Menurutnya, daripada jumlah itu, 280 ialah lelaki manakala 29 lagi wanita warga Indonesia kerana kesalahan tiada dokumen dan tinggal lebih masa dan seramai 406 warga asing lain dibebaskan kerana mempunyai dokumen lengkap.


“Dalam operasi ini JIM turut memeriksa 10 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan hasil semakan dua daripadanya adalah kad palsu manakala lapan lagi dibebaskan,” katanya dalam sidang akhbar malam tadi.


Sumber: Kosmo!

14 views

Comments


bottom of page