top of page

Jika kerajaan serius, bina segera


GOLONGAN isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menyambut baik Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) dalam usaha mewujudkan rumah mampu milik yang kondusif.


Bagaimanapun mereka mengharapkan dasar itu menjadi realiti dalam tempoh terdekat agar ramai golongan B40 dapat menikmatinya.


Bagi kakitangan swasta, Umi Faseha Kosnon, 28, dalam keadaan ekonomi tidak menentu hari ini, adalah lebih baik DRMM disegerakan.


“Jujurnya pandangan saya, golongan seperti kami tidak terfikir untuk beli rumah sebab tahu tak mampu, sekadar menyewa sajalah.


“Jadi bila kerajaan hendak buat DRMM, mestilah kami suka sebab kami ada peluang memiliki rumah sendiri.


“Tetapi bila tengok harga bergantung pada lokasi, orang akan fikir balik sebab lokasi mesti dekat dengan tempat kita bekerja. Takkanlah beli rumah di Semenyih, kerja di Shah Alam,” katanya kepada NSTP.


Dia berkata, ia bukan masalah bagi yang mampu dan sanggup berulang-alik tetapi bagi yang tidak mampu pada akan mengambil kira mengenai masa, tenaga, tol serta petrol.


“Saya pun teringin kalau lokasinya sesuai dengan tempat kerja, harga, dekat dengan keluarga. Tak guna beli kalau tak boleh duduk, pastinya kita tak boleh jadikan rumah sewa.


“Kebanyakan ada kerja tetap, tidak semua orang akan pindah kerja semata-mata untuk tinggal di rumah baru dibeli.


“Kalau harga RM300,000 pula, mungkin tempat bagus tetapi DRMM baru hendak dirangka, dengan keadaan ekonomi tidak menentu kini, adakah harga masih kekal begitu bila siap dibina.


“Memang hendak bagi kos yang sesuai dengan golongan B40 tetapi bagaimana harga bahan binaan, kemungkinan harga akan meningkat jika lambat dibina, melainkan pembinaan dalam masa terdekat,” katanya.


Sementara itu, Mohd Hamdan Abd Hakim, 35, berkata, harga RM90,000 hingga RM300,000 adalah bersesuaian.


“Saya setuju jika DRMM ini hendak dilaksanakan kerana inilah masanya dapat beli rumah sendiri yang selama ini menyewa berbanding janji-janji sebelum ini yang belum tentu lagi bila hendak ditunaikan.


“Lebih baik disegerakan dasar ini kerana ia memberi manfaat golongan B40 seperti saya, sekurang-kurangnya golongan B40 ada peluang memiliki rumah sendiri.


“Harga pun bagus... takkanlah di bandar kita hendak minta harga RM90,000, kena ikut kesesuaian lokasi. Kalau boleh dipercepatkan bina, sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun sudah ada gerak kerja pembinaan,” katanya.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, hari ini mengumumkan kerajaan akan merangka DRMM yang pertama seumpamanya dalam usaha mewujudkan rumah mampu milik yang kondusif kepada kumpulan B40.


Beliau berkata, DRMM yang menjadi sub kepada Dasar Perumahan Negara (DRN) 2018-2025 itu, akan menggariskan spesifikasi dan panduan kepada pemaju untuk pembangunan rumah mampu milik.


Katanya, antara intipati DRMM adalah menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik di negara ini pada 900 kaki persegi.


Sumber: Harian Metro


10 views
bottom of page