top of page

Jawatankuasa ditubuh bagi bolehkan pegawai PBT pindah PBT lain


Jawatankuasa ditubuh bagi bolehkan pegawai PBT pindah PBT lain
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) bersalam dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi pada mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-80 hari ini. - Foto ihsan FB Fadillah Yusof

Jawatankuasa ditubuh bagi bolehkan pegawai PBT pindah PBT lain

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-80 hari ini bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membolehkan pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditempatkan ke PBT lain.


Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat itu berkata ia bertujuan memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan menerusi peningkatan aspek pengalaman, akauntabiliti dan kredibiliti pegawai PBT.


Menurut kenyataan itu, profesional Jabatan Kerja Raya juga diberi penarafan sebagai badan profesional yang mewakili kerajaan bagi mendapatkan Sijil Perakuan dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan yang dibina secara kaedah konvensional dalaman JKR.


"Ia bertujuan menambah baik aspek keselamatan supaya semua bangunan kerajaan yang terlibat akan mempunyai CCC dan seterusnya memenuhi prasyarat bagi memperoleh Sijil Perakuan Bomba serta dapat diinsuranskan," menurut kenyataan itu.


MNKT ke-80 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Bangunan Parlimen, antara lain membentangkan tujuh kertas dan menggariskan dua strategi utama iaitu membolehkan daya modal insan dan menambah baik tadbir urus kerajaan tempatan.


MNKT adalah medium perundingan bagi penggubalan dasar berkaitan hal ehwal kerajaan tempatan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selaras Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.


Menurut kenyataan itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan pindaan Jadual Kedua, Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bagi membolehkan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Agung Luar Biasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan di kawasan pemajuan berstrata dilaksanakan berasaskan norma baharu.


"Ia sama ada secara dalam talian sepenuhnya atau secara dalam talian dan secara bersemuka (hibrid) mengikut tatacara dan kaedah pelaksanaan yang digariskan," menurut kenyataan itu.


Selain itu, inisiatif penambahbaikan dan pengukuhan kecekapan proses dan prosedur One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus dan kelulusan pelan pemajuan akan dilaksanakan bagi memendekkan tempoh kelulusan pelan pemajuan serta kebenaran merancang (KM).


Sumber: Berita Harian


Jawatankuasa ditubuh bagi bolehkan pegawai PBT pindah PBT lain


Σχόλια


bottom of page