top of page

Jambatan usang berbahaya, projek tertangguh kira-kira lima tahun lalu


PENDUDUK kampung di Jalan Kempas Lama, Johor Bahru menunjukkan jambatan usang yang digunakan lebih 5,000 kenderaan setiap hari yang mengalami kesesakan ekoran projek naik taraf tertangguh sejak 2018.

JOHOR BAHRU: Laluan jambatan yang usang berusia lebih 50 tahundi Jalan Kempas Lama, di sini bukan sahaja berbahaya, malah sering menyebabkan kesesakan.


Lebih membimbangkan, laluan yang menghubungkan pusat bandar raya ini dan kawasan perindustrian berhampiran turut digunakan kira-kira 5,000 kenderaan termasuk van sekolah dan kenderaan berat setiap hari.


Justeru, penduduk sekitar berharap kerajaan dapat menyiapkan segera projek itu yang telah tertangguh sejak lima tahun lalu.


Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan, 54, berkata, projek menaik taraf laluan dua lorong dua hala menjadi empat lorong dua hala itu sepatutnya siap pada 2020, namun hingga kini tiada sebarang perkembangan, malah tiada seorang pun pekerja di situ.


“Kawasan sekitar sudah dilebarkan jalan, tetapi apa gunanya apabila kawasan jambatan ini masih tidak siap kerana semua kenderaan yang menggunakan laluan ini harus menyeberangi jambatan usang itu. Jambatan itu bukan sahaja sudah usang, malah tiada pagar di tepi dan batu penghadang yang diletakkan juga telah dirempuh kenderaan,” katanya di sini hari ini.


Selain menjadi punca kesesakan, Roslan mendakwa beberapa kemalangan juga telah dilaporkan berlaku di kawasan tersebut termasuk sebuah lori yang terjatuh dari jambatan itu beberapa tahun lalu.


“Laluan ini bukan sahaja sempit, malah juga tidak mempunyai cat pembahagi jalan dan lampu jalan. Jadi, pada waktu malam memang berbahaya,” katanya.


Seorang penduduk, Zaini Kasirin, 48, turut berharap kerajaan dapat menyelesaikan masalah tersebut yang telah menimbulkan pelbagai kesukaran kepada orang ramai.


“Jalan ini kalau tidak sesak hanya mengambil masa kira-kira 15 minit dari hujung ke hujung, tetapi pada waktu puncak boleh jadi melebihi satu jam perjalanan, hanya kerana kesesakan di kawasan jambatan dan persimpangan lama,” katanya yang merupakan seorang peniaga.


Seorang lagi penduduk, Irwan Samsudin, 43, pula memberitahu, mereka hanya mampu bertawakal ketika melalui jalan tersebut, apatah lagi apabila berselisih dengan kenderaan berat.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya , Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek menaik taraf jalan kepada empat lorong sejauh 2.2 kilometer itu telah mencapai tahap 88 peratus siap.


“Projek yang turut melibatkan pembinaan jambatan merentasi Sungai Tebrau itu tergendala berikutan khidmat kontraktor asal terpaksa ditamatkan, berpunca daripada isu kelemahan pengurusan dan kewangan pihak kontraktor. Tender semula projek itu dijangka bermula November depan bagi melantik kontraktor baharu yang akan bertanggungjawab menyiapkan projek yang berbaki membabitkan kerja elektrikal, perparitan dan struktur jambatan,” katanya.


Sumber: Utusan

2 views

Comments


bottom of page