top of page

Jambatan Gantung Satok `hidup' semula


Jambatan dengan reka bentuk unik itu yang dibina menggunakan kabel besar.- Foto/Nadim Bokhari

TANGGAL 7 Oktober 2004, ramai pencinta sejarah khususnya di Kuching bersedih apabila Jambatan Gantung Satok, apabila mercu tanda menarik bandar raya ini, runtuh selepas 81 tahun kukuh merentangi Sungai Sarawak.


Kejadian itu membuatkan ramai yang mengeluh kerana Kuching kehilangan salah satu binaan bersejarah yang turut menjadi daya tarikan pelancong di bandar raya ini.


Jambatan Gantung Satok yang runtuh itu berukuran 130 meter panjang dan 2.3 meter lebar, menempatkan saluran paip dari tangki air dari Matang ke kawasan seberang Sungai Sarawak termasuk pusat bandar Kuching pada zaman pemerintahan Rajah Putih.


Pelan pembangunan jambatan itu sebenarnya dirancang Rajah Putih Ke-2, Charles Brooke pada 1902, namun pelbagai kekangan timbul menyebabkan pembinaannya tertangguh hinggalah Charles meninggal dunia pada tahun 1917.


Bagaimanapun anaknya, Charles Vyner Brooke yang menjadi Rajah Putih Ke-3, meneruskan hasrat untuk merealisasikan jambatan itu dan beliau mengupah arkitek terkemuka Eropah, A.S Lowe untuk mengetuai projek yang bermula pada 1923.


Reka bentuk unik

Dengan kos RM215,252 jambatan dengan ketinggian 18 meter dari aras Sungai Sarawak yang diimpikan Charles Brooke itu siap sepenuhnya pada 1926.

Jambatan Gantung Satok jadi mercu tanda menarik bandar raya Kuching. - Foto/Nadim Bokhari

Sejak itu, jambatan dengan reka bentuk unik itu yang dibina menggunakan kabel besar menjadi laluan utama pejalan kaki dari kawasan seberang Sungai Sarawak (sekarang Petra Jaya) untuk ke pusat bandar Kuching.


Pada 1992, jambatan itu ditutup kepada laluan orang ramai kerana strukturnya utamanya iaitu kabel yang semakin usang dikhuatiri mengundang musibah.


Kebimbangan terhadap tahap keselamatan jambatan itu menjadi kenyataan, kira-kira jam 2 pagi 7 Oktober 2004 apabila kabel besar yang menampung jambatan itu selama lapan dekad putus sekali gus terbenam ke dasar Sungai Sarawak.


Sejak itu, ramai yang menganggap jambatan yang memberi sumbangan besar dalam perkembangan Kuching sehingga muncul sebagai sebuah bandar raya itu akan lenyap selama-lamanya.


Daya tarikan pelancong

Namun, pada 2017 Kerajaan Sarawak memberi khabar gembira terutamanya kepada pencinta sejarah serta penduduk Kuching yang ada menyimpan nostalgia di jambatan unik itu, apabila mengumumkan projek untuk membinanya semula.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika mengumumkan projek itu berkata, jambatan itu wajar diwujudkan semula kerana ia mempunyai nilai sejarah yang tinggi.


Ia bukan sahaja bakal menjadi satu lagi daya tarikan pelancongan di Kuching, malah bakal menjadi simbol kegigihan rakyat Sarawak untuk mencapai pembangunan sejak zaman pemerintahan Brooke hingga hari ini.


Beri manfaat kepada pejalan kaki

Pembinaan semula Jambatan Gantung Satok akan memberi manfaat kepada pejalan kaki dari kawasan Satok ke pasar baharu di Medan Niaga Satok.


Projek 'replika' jambatan sepanjang 213 meter RM8.05 juta itu diselia Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan kerja bermula pada 19 September 2017 dan dijadualkan siap pada dan dijangka siap pada 18 September 2019.


Namun, ketika persiapan dibuat untuk merasmikan jambatan itu pada 2019, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengesan terdapat sedikit kecondongan pada blok utama tiang Jambatan Gantung Satok berdekatan Kubah Ria.

Jadi daya tarikan pelancongan.- Foto/Nadim Bokhari

Kecondongan pada tiang blok utama itu dikesan ketika ujian statik dijalankan dengan memuatkan simulasi 800 orang berada di atas jambatan itu, pada 29 Ogos 2019.


Jambatan selamat digunakan

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang kesal dengan kejadian itu mengarahkan laluan ke jambatan berkenaan ditutup kepada orang ramai bagi membolehkan kerja-kerja membaiki kerosakan dijalankan.


Selepas lebih setahun kerja membaiki dengan direka semula strukturnya, jambatan itu kini disahkan selamat digunakan sekali gus menghidupkan semula binaan unik yang pernah lenyap dari pandangan selama 15 tahun.


Selain menjadi daya tarikan pelancong, Jambatan Gantung Satok pernah menjadi tumpuan ramai pada 1989, apabila jurulatih pasukan bola sepak Sarawak ketika itu, Awang Mahyan Awang Mohamed disertai ratusan penyokong terjun dari jambatan berkenaan bagi meraikan kejayaan Sarawak melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia buat julung kali.


INFO: Jambatan Gantung Satok

  • Yang ada sekarang adalah replika dibina bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh selepas kabel utama putus pada 2004.

  • Jambatan asal dibina pada 1923 dan siap pada 1926.

  • Jambatan pertama merentangi Sungai Sarawak untuk menghubungkan kawasan Satok dan Matang.

  • Asalnya dibina bagi menyokong paip air menyeberangi Sungai Sarawak.

  • Sekarang digunakan pejalan kaki untuk ke lokasi tumpuan di seberang Sungai Sarawak iaitu Kubah Ria, Medan Niaga Satok dan Pasar Minggu Satok

Sumber: Berita Harian

111 views

Comments


bottom of page