top of page

Jambatan Gantung Satok dibuka Jun



JAMBATAN Gantung Satok dijangka dibuka Jun ini dengan kerja pembinaan jambatan yang direka semula strukturnya itu sudah bermula.


Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datuk Zuraimi Sabki berkata, pihaknya memantau rapi pelaksanaan projek itu setiap hari bagi memastikan ia siap dengan selamat.


“Reka bentuk semula jambatan ini sudah diluluskan, jadi kami sudah memulakan kerja pada blok utama dan ia akan siap tidak lama lagi, mungkin menjelang Jun,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan malam sempena Forum Keselamatan & Kualiti JKR Sarawak yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing di Kuching malam tadi.

Sebelum ini, pembinaan Jambatan Gantung Satok ditangguhkan kerana blok utamanya didapati condong ketika ujian beban tahun lalu.


Justeru, Zuraimi memberi jaminan bahawa jambatan berkenaan selamat selepas ia direka bentuk semula membabitkan blok utamanya.


“Jambatan itu dalam keadaan baik. Ia hanya berlaku apabila kita melakukan ujian beban (tahun lalu), menyebabkan blok utama condong.


“Kami memantaunya setiap hari. Kami sangat teliti dalam analisis kami dan kali ini kami mahu memastikan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.


Sementara itu, James turut memberi jaminan jambatan itu selamat kerana pembinaannya turut dipantau oleh pakar dari luar.


“Kami tidak akan membukanya kepada orang ramai sehingga ia 100 peratus yakin ia selamat,” katanya.


Sumber: Harian Metro


29 views
bottom of page