top of page

Jalan Lepar Utara dibaikpulih


Jalan Lepar Utara sedang dibaikpulih oleh JKR.

KUANTAN - Dakwaan segelintir pihak bahawa Jalan Lepar Utara tidak diberikan sebarang perhatian oleh kerajaan sejak setahun lalu adalah tidak benar.


Sebaliknya Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, jalan terbabit kini sedang dibaikpulih oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).


Menurutnya, laluan terbabit telah runtuh dan rosak teruk akibat banjir baru-baru ini sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan beberapa hari ketika bencana dan terpaksa melalui jalan alternatif yang dibuat sendiri oleh mereka.


“Saya telah melakukan beberapa siri lawatan, perbincangan dengan beberapa pihak dan bersyukur apabila kerajaan Persekutuan melalui JKR telah meluluskan dua jenis pembaikan di lokasi ini (Jalan Lepar Utara).


"Pembaikan itu melibatkan kerja-kerja pembaikan pembentung dan pembaikan cerun,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.


Beliau menjelaskan, bagi pembaikan cerun, kerja-kerja reka bentuk telah siap dilaksanakan.


“Saya dimaklumkan pihak kontraktor dijangka memulakan kerja di tapak bermula hari ini (Isnin) dan akan siap sepenuhnya pada 19 Julai depan.


“Kerja pembaikan pembentung pula sudah bermula pada 12 Februari lalu dengan melakukan pembersihan pada inlet culvert manakala kerja-kerja pembaikan culvert dijangka dapat dilaksanakan pada 14 Mac ini setelah kerja pembersihan selesai dan dijangka siap pada 30 April depan," jelasnya.


Sehubungan itu, Mohd Shahar berkata, keselamatan dan keselesaan pengguna jalan berkenaan terutamanya penduduk Lepar Utara sentiasa dijaga dan terjamin.


Tambahnya, sebarang perkembangan proses baik pulih itu akan disampaikan dari semasa ke semasa.


"Saya berharap masyarakat setempat dapat sama-sama membantu saya memantau perlaksanaan projek ini.


"Kalau boleh segera maklum kepada saya terdapat projek yang tidak mengikut jadual ditetapkan," katanya.


Sumber: Sinar Harian

Comments


bottom of page