top of page

Jalan Dangi-Kepis-Bahau, Kuala Pilah ditutup satu lorong


Antara laluan yang terjejas akibat banjir di Kuala Pilah.

KUALA PILAH - Jalan Dangi-Kepis-Bahau, Kuala Pilah (Laluan Negeri N17, Seksyen 10) ditutup satu lorong menghala ke Bahau untuk semua jenis kenderaan bermula jam 11 malam tadi sehingga tengah hari esok.


Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah, Ir Mohd Faizul Mohd Ali berkata, penutupan di laluan berkenaan disebabkan berlakunya 'sinkhole' yang menyebabkan kerosakan pada struktur jalan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.


"Oleh demikian, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan dan mematuhi papan tanda yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.


Terdahulu, laluan tersebut antara yang terjejas ekoran hujan lebat sejak lewat malam kelmarin di daerah ini selain kediaman penduduk di Pekan Batu 10 dan 12, Kampung Kepis Hilir, Air Taling dan Juasseh turut dinaiki air.


Dalam masa sama, terdapat kawasan di daerah Tampin dan Jempol turut dilanda banjir kilat manakala satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Orang Ramai Dangi, Kuala Pilah.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap ketika dihubungi berkata, kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan pagi ini di lokasi terjejas.


Sumber: Sinar Harian

13 views
bottom of page