top of page

IWK tingkat teknologi hijau melalui projek tenaga solar


Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (RSTP2) yang direka dengan kapasiti untuk merawat 1.423 juta populasi setara atau 320 juta liter efluen terawat sehari.

SYARIKAT pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic (PV) di 53 aset pembetungannya dengan jumlah penjimatan yang diunjurkan sebanyak RM20 juta bagi tempoh 15 tahun dalam meningkatkan penggunaan teknologi hijau.


Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, kerja-kerja pemasangan sistem tenaga solar tersebut akan dilakukan secara berperingkat dan projek fasa pertama bermula pada bulan hadapan melibatkan 19 tapak Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di seluruh negara.


Menurutnya, projek fasa pertama di 19 tapak LRK dengan pemasangan solar PV berkapasiti 6,950kWp dijangka mampu menghasilkan tenaga sebanyak 8,890kWh setahun.


“Tenaga solar PV akan disalurkan untuk kegunaan proses rawatan IWK meliputi 20 peratus daripada keperluan tenaga keseluruhan untuk 19 LRK berkaitan dengan kadar penjimatan sebanyak RM14 juta bagi tempoh 15 tahun.


“Penggunaan tenaga elektrik adalah salah satu perbelanjaan terbesar dalam komponen operasi kami dan strategi yang telah dikenalpasti dalam usaha penjimatan adalah dengan meneroka penggunaan sumber tenaga solar pada skala besar.


"IWK kini bertukar daripada operasi secara konvensional kepada trend kontemporari iaitu melalui adaptasi teknologi hijau dalam usaha mengurangkan kos,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Beliau berkata, selepas pemasangan solar PV bagi fasa pertama ini, IWK akan terus meneroka untuk menjalin usahasama dengan pihak yang berpotensi untuk penjanaan tenaga solar PV bagi kira-kira 500 potensi aset yang bersesuaian di bawah fasa berikutnya.


“Inisiatif teknologi hijau ini akan mengurangkan jejak karbon di samping mewujudkan persekitaran lestari bagi industri rawatan air kumbahan. Inisiatif ini juga akan mengurangkan kesan kenaikan kos tenaga setiap tahun.


Sumber: Sinar Harian

Commentaires


bottom of page