
KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) akan melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic (PV) di 53 aset pembetungan, dengan jumlah penjimatan diunjurkan RM20 juta bagi tempoh 15 tahun.
Kerja pemasangan sistem tenaga solar itu akan dilakukan secara berperingkat, dengan projek fasa pertama bermula bulan depan yang membabitkan 19 tapak Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam, berkata penggunaan tenaga elektrik adalah salah satu perbelanjaan terbesar dalam komponen operasi syarikat itu.
Justeru dalam usaha penjimatan, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti strategi meneroka penggunaan sumber tenaga solar pada skala besar.
"IWK kini bertukar daripada operasi secara konvensional kepada trend kontemporari, iaitu melalui adaptasi teknologi hijau dalam usaha mengurangkan kos.
"Inisiatif teknologi hijau ini akan mengurangkan jejak karbon (carbon footprint), di samping mewujudkan persekitaran lestari bagi industri rawatan air kumbahan.
"Selain itu, ia akan mengurangkan kesan kenaikan kos tenaga setiap tahun. Pertambahan bilangan LRK diserahkan kepada IWK telah menyaksikan peningkatan kos tenaga elektrik daripada RM22.53 juta pada 2000 kepada RM256.30 juta tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Narendran berkata, selepas pemasangan solar PV bagi fasa pertama, IWK akan terus meneroka usahasama dengan pihak berpotensi bagi penjanaan tenaga solar PV untuk kira-kira 500 potensi aset bersesuaian dalam fasa berikutnya.
Bagi fasa pertama, IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga bersama MFP Solar Sdn Bhd dan Timeless Green Sdn Bhd bagi pembelian tenaga solar PV.
Menurut kenyataan itu lagi, projek tenaga solar PV adalah sebahagian daripada komitmen IWK dalam menyumbang kepada usaha pelaksanaan Pelan Tenaga Diperbaharui Malaysia, khususnya ketika dunia berdepan krisis perubahan iklim dan inisiatif tenaga diperbaharui menjadi keutamaan apabila peralihan kepada sifar jejak karbon.
Keseluruhan 53 tapak projek solar PV terbabit dijangka menyumbang kepada pengurangan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 125,000 tan CO2 setara.
Sumber: Berita Harian
Kommentare