top of page

Isu projek ECRL, Sultan Selangor tak mahu masalah


Harian Metro

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah nasihat supaya pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak memberi masalah kepada rakyat.


Dalam titah yang dikongsikan di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, baginda mahu pembinaan projek berkenaan mengambil kira impak sosial terhadap kawasan penempatan kampung tradisi dan Orang Asli; impak kepada alam sekitar seperti hutan simpan serta 'catchment area'.


Ia juga perlu jauh dari bekalan sumber air mentah seperti empangan; serta tidak melalui kawasan-kawasan berisiko di Permatang Kuartza (limestone ridge).


"Baginda mahu setiap projek pembangunan di Selangor sentiasa mengambil kira masalah-masalah yang disebutkan tadi demi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan," menurut titah itu.


Sultan Selangor bertitah nasihat selepas berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, tadi.


Pada pertemuan itu, Amirudin menyembah maklum dan memberi taklimat kepada baginda berkenaan penetapan jajaran projek East Coast Rail Link (ECRL) di negeri ini.


Turut menghadap, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dr Nor Fuad Abdul Hamid.


Sebelum ini, kerajaan Selangor tidak bersetuju dengan cadangan projek ECRL yang akan dibina berdasarkan jajaran asal yang melalui kawasan Gombak dan Serendah.


Sumber: Harian Metro


6 views

Comments


bottom of page