top of page

Isu arkitek tempatan tersisih dibawa kepada Kabinet



KUALA LUMPUR: Isu arkitek tempatan tidak diberi peluang terbabit dalam projek pembangunan mega di negara ini, akan dibawa kepada Kabinet dalam masa terdekat.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata Malaysia mempunyai ramai arkitek berkebolehan dan mencipta nama di luar negara, malangnya mereka tidak mendapat peluang di negara sendiri.


“Sebenarnya di bawah kerajaan baharu, kita sudah maklum mengenai perkara ini. Saya akan bangkitkan ia kembali supaya di bawah kerajaan sekarang, keutamaan harus diberikan kepada arkitek tempatan.


“Ada antara mereka yang begitu cemerlang di luar negara seperti di Dubai dan ada yang mendapat tawaran untuk terbabit dalam pembangunan ibu negara Indonesia yang baharu, namun tidak di negara sendiri.


“Ini sudah jadi ‘brain drain’ kerana mereka sebenarnya mencari peluang di tanah air sendiri. Jadi, sudah tiba masanya untuk kita membawa pulang bakat ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Seni Bina Kuala Lumpur (KLAF2020) anjuran Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia, Zairul Azidin Badri; Presiden PAM, Lillian Tay dan Pengarah KLAF2020, Dr Tan Loke Mun.


Selain itu, Zuraida berkata, PAM akan diberikan peluang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam penggubalan dasar supaya pembangunan di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.


Sementara itu, berhubung kejadian runtuhan struktur bangunan kondominium di Taman Desa, di sini, semalam, Zuraida berkata, satu mesyuarat penyelarasan mengenainya akan diadakan Isnin ini membabitkan kementeriannya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan pemaju projek.


“Buat masa ini, terlalu awal untuk saya berikan kenyataan mengenainya. Makluman awal yang saya peroleh adalah projek itu perlu siap dalam masa 54 bulan dan kejadian itu tidak membabitkan isu tanah,” katanya.


Sementara itu, Zairul berkata, pihaknya sedang menyediakan cadangan untuk meminda Akta Arkitek 1967 bagi mengawal kedatangan arkitek luar ke negara ini, yang dikatakan berselindung di sebalik arkitek tempatan.


“Kita akan mengadakan peruntukan untuk mendaftar arkitek luar yang akan mengendalikan perniagaan di negara ini. Jadi, kita mengawal mereka dan wujud keseimbangan supaya keperluan arkitek tempatan diberi keutamaan.


“Ia bukan seperti ketika ini yang mana kita harus pastikan arkitek luar yang ditugaskan dan kita yang perlu berada di bawah mereka,” katanya.



105 views
bottom of page