top of page

IPO Vestland sasar jana modal RM56.1 juta


IPO Vestland sasar jana modal RM56.1 juta Berita Harian www.bharian.com.my
Vestland Bhd

KUALA LUMPUR: Vestland Bhd, yang bakal disenaraikan dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd menjelang 31 Januari 2023, menyasarkan untuk mengumpul RM56.1 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).


Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Liew Foo Heen, berkata syarikat perkhidmatan pembinaan itu merancang menggunakan 59.7 peratus atau RM33.5 juta daripada hasil berkenaan bagi tujuan modal kerja, sejajar dengan strategi pertumbuhan kumpulan.


Selain itu, 13.4 peratus (RM7.5 juta) daripada hasil akan digunakan untuk memperoleh ibu pejabat baharu, 19.2 peratus (RM10.8 juta) bagi bon prestasi atau deposit tunai untuk projek pembinaan, manakala baki RM4.3 juta sebagai perbelanjaan penyenaraian.


"Dengan penyenaraian itu yang dijangka selesai bulan depan, pencapaian ini akan meningkatkan imej korporat dan akses kepada pembiayaan kami secara positif.


"Ia juga akan akan melonjakkan daya saing perniagaan kami daripada segi kos dana serta modal insan termasuk keupayaan untuk mendapatkan lebih banyak projek dan meningkatkan pendapatan serta perolehan kami," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu, hari ini.


Vestland terbabit dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan melalui anak syarikat milik penuhnya, Vestland Resources Sdn Bhd.


Foo Heen berkata, syarikat itu optimis untuk mewujudkan nilai baharu bagi pemegang sedia ada dan baharu, berdasarkan tempahan dalam pegangan tender yang kukuh membabitkan projek bernilai lebih RM2 bilion termasuk tempahan dalam tangan tertunggak sebanyak RM947.4 juta.


"Rekod prestasi kami yang terbukti menunjukkan komitmen dan kecemerlangan kami untuk menjadi pilihan utama pelanggan.


"Kami amat berterima kasih atas segala sokongan serta kepercayaan yang diberikan oleh syarikat berkepentingan kepada kami dan bersama, berharap dapat memulakan perjalanan pertumbuhan mampan," jelasnya lagi.


IPO Vestland merangkumi terbitan awam sebanyak 170.0 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 70.8 juta saham sedia ada, berjumlah 240.8 juta saham biasa pada harga terbitan 33 sen sesaham, menghasilkan anggaran permodalan pasaran sebanyak RM311.6 juta.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page