top of page

Infrastruktur, sektor binaan rangsang ekonomi negara


Antara laluan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di daerah Penampang. - Foto fail NSTP/Malai Rosmah Tuah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya komited menjadikan pembangunan infrastruktur khususnya dalam sektor pembinaan sebagai pemangkin kepada usaha menjamin kesejahteraan rakyat.


Sasaran kementerian ke arah mewujudkan keadaan ekonomi yang lebih baik ketika negara berdepan keadaan mencabar akibat krisis kesihatan.


Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata impak berganda mampu menjana pertumbuhan ekonomi melalui sektor pembinaan, malah berupaya membantu pelbagai golongan termasuk yang terjejas akibat COVID-19.


Sebagai peneraju pembangunan infrastruktur, beliau yakin sektor pembinaan memegang kunci utama memangkin ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.


"Sebagai contoh, jika kita memperuntukkan RM1 bilion bagi sesuatu projek pembinaan, ia akan memberi impak dua hingga tiga kali ganda kepada pelbagai pihak.


"Impak ini bukan sahaja berkisar dalam industri seperti arkitek dan jurutera, malah melebar kepada pembekal peralatan, makanan, bank dan peguam," katanya pada sidang media Pasca Belanjawan 2021, hari ini.


Katanya impak dibawa melalui sektor pembinaan bukan sekadar membabitkan projek berskala besar contohnya seperti Lebuhraya Pan Borneo dan projek Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), tetapi turut membawa faedah kepada kumpulan kontraktor kecil dalam kelompok G1 hingga G4.


"Ia memberi banyak peluang ekonomi di peringkat akar umbi melalui apa yang kita peruntukan bagi menggerakkan ekonomi," katanya.


Melalui Belanjawan 2021, tujuh projek baharu dikenal pasti di bawah Kementerian Kerja Raya dengan peruntukan RM3.8 bilion.


Kementerian Kerja Raya menerima peruntukan RM7.35 bilion membabitkan RM1.26 bilion bagi tujuan perbelanjaan mengurus dan RM6.09 bilion untuk pembangunan.


Fadillah berkata, kementeriannya meletakkan matlamat untuk merapatkan jurang pembangunan infrastruktur di luar bandar baik di Sabah, Sarawak atau Semenanjung.


Untuk itu, katanya sebanyak RM2.7 bilion diperuntukkan tahun depan bagi pelaksanaan program infrastruktur luar bandar dan ia dirancang untuk ditingkatkan setiap tahun bagi menambah baik aspek itu secara berperingkat.


"Saya menjaga hal ehwal infrastruktur di mana di bawahnya ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk projek luar bandar ini," katanya yang juga Menteri Kanan (Infrastruktur).


Beliau juga menggalakkan lebih ramai pekerja tempatan menceburkan diri dalam sektor pembinaan, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.


Beliau berkata, warga tempatan yang terjejas akibat COVID-19 boleh mengambil peluang bekerja dalam sektor pembinaan di mana Akademi Binaan Malaysia akan memberi latihan untuk menjadikan mereka pekerja mahir.


"Mereka boleh mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) kerana kita menyasarkan untuk lebih ramai pekerja mahir terbabit dalam sistem binaan berindustri (IBS), di mana gajinya juga lebih baik," katanya.


Mengenai Lebuhraya Pan Borneo Sabah, beliau berkata, pihak kementerian menyasarkan 20 pakej melalui projek itu akan siap pada 2023, lewat sedikit daripada jangkaan awal 2022.


Beliau berkata, kelewatan itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pertukaran pengambilalihan pembinaan projek itu ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.


Katanya, bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pula, 53 peratus sudah siap dan dijangka selesai fasa pertama seperti dijadualkan pada 2022.


"Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ia sudah siap 34 peratus dan agak terlewat, maka kita akan cari jalan untuk mempercepatkannya.


"Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mempunyai keseluruhan 35 pakej dan kini 15 sedang berjalan dengan lima lagi dalam proses tender.


"Baki 15 pakej lagi, kadar kesiapan bergantung kepada peruntukan diterima daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.


Dalam memastikan kelancaran, beliau memaklumkan, Kabinet secara prinsip meluluskan pelantikan syarikat pengurusan projek untuk membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak supaya lebih efisyen dan efektif.



15 views
bottom of page