top of page

Industri pembinaan malap


PETALING JAYA: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) menjangkakan industri pembinaan terus mengalami kesukaran pada 2019 berikutan industri hartanah yang perlahan pada masa ini.


Presidennya, Foo Chek Lee berkata situasi itu disebabkan sebahagian daripada kontraktor bergantung kepada projek swasta terutama dalam industri hartanah bagi operasi perniagaannya.


“Pada masa ini, kita dapati ahli kita berhadapan kesukaran dalam mendapatkan kerja pembinaan berikutan kebanyakan pemaju hartanah tidak melancarkan dan menunda sebarang pembangunan projek baharu.


“Perkara ini seperti mana yang kita ketahui berpunca daripada kesukaran pemaju hartanah dalam menjual unit hartanah masing-masing berikutan isu pembiayaan perumahan yang ketat daripada pihak bank dan situasi ekonomi semasa tidak menentu,” katanya pada sidang media selepas majlis dialog bersekutu MBAM, semalam.


Beliau berkata, pihaknya menolak tanggapan bahawa kontraktor tempatan hanya memilih untuk mendapatkan kerja pembinaan bagi rumah kos tinggi sahaja.


“Kami juga menyokong kerja pembinaan bagi rumah mampu milik atau kos rendah asalkan masih memiliki kerja namun berapa banyak projek perumahan seumpama ini dilaksanakan sejak kebelakangan ini?” katanya.


Sementara itu, masa depan bagi industri pembinaan negara dilihat berada dalam keadaan membimbangkan berikutan kekurangan kerja yang dimiliki kontraktor sekali gus bakal menjejaskan kelangsungan mereka dan pendapatan kepada ekonomi keseluruhan negara.


Foo berkata, MBAM merayu kepada kerajaan bagi mempercepatkan proses penganugerahan kontrak kepada kontraktor terutama membabitkan projek berskala besar seperti fasa kedua Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Menurutnya, kontraktor tempatan amat menunggu pemberian kerja baharu kerana kebanyakan kerja sedia ada mereka bakal lengkap dalam tempoh antara hujung tahun ini hingga pertengahan tahun depan.


“Kami memahami kerajaan berhadapan dengan isu kewangan namun mereka boleh menganugerahkan pakej projek skala kecil kepada kontraktor dengan pelaksanaan projek itu boleh dilanjutkan untuk tempoh jangka panjang.


“Langkah ini sekurang-kurangnya boleh membantu kontraktor kecil untuk terus bersaing bagi mengelakkan mereka tiada kerja berikutan kebanyakan kontraktor tempatan terdiri daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) manakala syarikat besar boleh meninjau dan mendapatkan projek di luar negara,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Ogos 2019 @ 6:56 AM


Sumber: Harian Metro


225 views
bottom of page