top of page

Indonesia bakal bina jambatan hubungkan Batam dan Bintan


Pemandangan pulau Batam, Indonesia. - Foto fail Reuters

JAKARTA: Indonesia bercadang membina jambatan sepanjang tujuh kilometer menghubungkan dua pulau di Selat Melaka, berdekatan dengan Singapura, sebagai sebahagian usaha membangunkan industri dan pelancongan di kawasan itu.


Jambatan itu menghubungkan Batam dan Bintang dan menelan belanja anggaran empat trilion rupiah (RM1.1 bilion), kata pejabat Setiausaha Kabinet dalam kenyataan hari ini.


Jambatan itu juga akan menjadi yang terpanjang di Asia Tenggara.

Ia bertujuan memanfaatkan perluasan Lapangan Terbang Changi di Singapura dengan pembangunan Terminal 5 baharu, yang akan mempunyai hubungan pengangkutan ke Bintan.


Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang menjadikan pembinaan infrastruktur sebagai tonggak utama penggal pertamanya memegang jawatan itu, berjanji terus mengatasi masalah ekonomi negara paling besar di Asia Tenggara itu dalam penggal keduanya, bermula Oktober ini.


Pentadbirannya juga mahu memasarkan Batam, satu-satunya zon perdagangan bebas Indonesia, kepada pelabur yang mencari lokasi menempatkan semula kilang di luar China di tengah perang perdagangan antara Beijing dan Washington.


Pembinaan jambatan itu dijangka bermula pada 2020 dan mengambil tiga hingga empat tahun untuk siap. — Reuters



11 views
bottom of page