top of page

IKR bantu selesai keperluan mendesak infrastruktur rakyat


IKR bantu selesai keperluan mendesak infrastruktur rakyat
Peruntukan segera membolehkan masalah kemudahan yang dihadapi rakyat diselesaikan dengan cepat sekali gus memberi peluang mereka menikmati kehidupan lebih selesa. - Foto hiasan

IKR bantu selesai keperluan mendesak infrastruktur rakyat

KUALA LUMPUR: Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) dengan peruntukan RM500 juta bagi membiayai pelaksanaan projek infrastruktur kecil, dijangka dapat menyelesaikan pelbagai keperluan mendesak di kawasan setempat terutama membabitkan penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur.


Ketua Jabatan Senibina, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohamad Fakri Zaky Jaafar, berkata peruntukan segera itu membolehkan masalah kemudahan yang dihadapi rakyat selama ini diselesaikan dengan cepat sekali gus memberi peluang mereka menikmati kehidupan lebih selesa.


"Kita sedia maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai senarai yang panjang dan keutamaan tertentu dalam menyelesaikan masalah penduduk dan di sini kita lihat pendekatan IKR ini membolehkan masyarakat sendiri membuat permohonan keperluan mendesak mereka terus kepada kerajaan.


"Ini kerana apabila berlaku sesuatu kerosakan di sesebuah penempatan, yang paling terkesan pastinya penduduk itu sendiri dan kini mereka boleh meminta bantuan kerajaan Persekutuan untuk bantu baik pulih sebarang keperluan mendesak mereka," katanya kepada Bernama.


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semalam, mengumumkan IKR yang merupakan bantuan kerajaan Persekutuan bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek kecil seperti baik pulih dewan atau menutup jalan rosak.


Bantuan projek infrastruktur awam kecil boleh dipohon menerusi laman web IKR, https://ikr.ekonomi.gov.my/ sama ada bagi projek baharu atau projek pembaikpulihan.


Mohamad Fakri Zaky juga mencadangkan, persatuan penduduk untuk memainkan peranan bersama-sama penduduk setempat memohon bantuan berkenaan bagi sebarang penyelenggaraan termasuk lif, laluan pejalan kaki atau projek kemudahan baharu yang memberi kesan segera kepada rakyat.


Dalam pada itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata usaha kerajaan itu dapat membantu PBT dalam aspek kewangan bagi membaik pulih beberapa infrastruktur seperti dewan orang ramai, lampu jalan, jalan raya dan memberi jaminan masyarakat mendapat kehidupan yang lebih selesa.


"Sedia maklum, kita ada dewan tapi tiada penyelenggaraan, ada juga kabel lampu jalan rosak memerlukan kos terlalu tinggi, ini antara perkara yang menjadi masalah, ada jalan-jalan di kawasan PBT gagal diuruskan dengan baik," katanya.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun pula, berkata antara perkara paling mustahak dalam memastikan kerja baik pulih dapat dilaksanakan segera ialah perolehan atau lantikan kontraktor dan IKR dilihat dapat membantu dalam aspek ini.


"Apabila peruntukan telah disalurkan ke jabatan terbabit, proses lantikan (kontraktor) dapat dilaksanakan dengan segera (apabila projek telah dikenal pasti) dan pemantauan rapi oleh pihak berkaitan boleh memastikan ia siap mengikut masa dengan kualiti kerja yang baik," katanya.


Johari juga menyifatkan langkah itu bukan hanya mempercepat baik pulih infrastruktur untuk kemudahan rakyat, tetapi turut membantu kontraktor kecil yang semakin terhimpit dengan keadaan ekonomi semasa.


"Saya mengharapkan pihak berkaitan membuat kiraan kos kerja dengan mengambil kira harga barang-barang binaan semasa supaya kontraktor dapat menyiapkan kerja dengan bahan berkualiti dan dalam masa sama memperoleh untung untuk meneruskan perniagaan," katanya.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Selangor, Ng Sze Han pula, berharap rakyat dan PBT di negeri itu dapat memanfaatkan peluang ini selepas mekanismenya diperincikan oleh pihak Kementerian Ekonomi.


Sementara itu, golongan kontraktor di negeri Terengganu berharap kaedah agihan peruntukan RM500 juta menerusi IKR itu dan pelaksanaannya diperkemas serta diteliti agar ia sampai kepada golongan sasar.


Seorang kontraktor kelas G1, Mohd Anuar Ibrahim, berkata kerajaan perlu memantau pelaksanaan projek di bawah inisiatif itu dan memastikan ia dianugerahkan kepada mereka yang memenuhi kriteria dan standard ditetapkan.


Sumber: Berita Harian


IKR bantu selesai keperluan mendesak infrastruktur rakyat


bottom of page