top of page

Hutan bandar wujudkan ekosistem lestari, bukan sekadar landskap


Kawasan hutan bandar lazimnya mempunyai nilai estetika tersendiri kepada manusia seperti menjadi tempat mereka beriadah dan rekreasi. - Foto fail NSTP

PROSES pembandaran adalah antara satu faktor menjadi kayu ukur kepada kemajuan sesebuah negara terutama dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.


Malaysia sebagai negara pesat membangun di Asia Tenggara mengalami proses perbandaran yang agresif sejak lebih empat dekad lalu dan menunjukkan karektor tersendiri dalam melalui proses itu.


Kemajuan bidang sains dan teknologi menjadi pemangkin proses perbandaran di Malaysia yang mana ia dapat dilihat menerusi binaan bangunan pelbagai geometri dan kewujudan infrastruktur moden dalam pengangkutan khasnya.


Namun begitu, di sebalik segala usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai negara maju, pelbagai konflik terhadap alam sekitar serta memberikan impak negatif kepada ekologi dan kepelbagaian bio.


Hal ini kerana, proses urbanisasi membabitkan pembukaan kawasan hutan atau pinggir hutan secara besar-besaran bagi tujuan pembinaan bangunan dan infrastruktur asas lain.


Namun, proses ini lazimnya membawa bersamanya bencana alam seperti banjir kilat dan tanah runtuh, selain menjadi faktor kepada pemanasan global dan penipisan lapisan ozon.


Keadaan ini membuktikan kawasan hutan atau hijau perlu dikekalkan atau diwujudkan di bandar kerana ia diakui mendatangkan pelbagai manfaat kepada ekosistem di kawasan perbandaran.


Kewujudan hutan di kawasan perbandaran memiliki pelbagai kelebihan dan manfaat kepada manusia sama ada untuk melakukan aktiviti rekreasi dan riadah serta, mewujudkan keseimbangan dan keharmonian kepada alam, selain menjadi tempat konservasi habitat fauna.


Kawasan hutan bandar lazimnya mempunyai nilai estetika tersendiri kepada manusia seperti menjadi tempat mereka beriadah dan rekreasi dengan niat mencari ketenangan jiwa dan emosi.


Sesetengah hutan bandar seperti Taman Rekreasi Hutan Bandar Majlis Pembandaran Subang Jaya (MPSJ), mempunyai banyak fasiliti membolehkan pengunjung melakukan aktiviti riadah dan bersukan.


Pengunjung berpeluang melakukan aktiviti lasak menggunakan trek laluan di dalam hutan seperti berbasikal, menaiki pacuan empat roda, mendaki serta menelusuri hutan dan sungai.


Melalui aktiviti ini, masyarakat bukan sahaja dapat dipupuk untuk menjaga alam sekitar di dalam hutan, malah mereka dapat menyihatkan tubuh badan serta menghirup udara segar dan bersih.


Dalam pada itu, hutan bandar juga memainkan peranan penting dalam usaha konservasi spesies hidupan liar dan tumbuhan.


Hal ini kerana, organisma boleh beradaptasi dengan persekitaran dan menjadikan kawasan hutan bandar sebagai habitat, tempat perlindungan atau kawasan rayau yang kaya dengan sumber asli dan menjamin kelangsungan hidup.


Tambahan pula, faktor biotik seperti tumbuhan wujud di sekitar kawasan hutan bandar berpotensi menjadi tarikan kepada beberapa spesies burung, serangga dan mamalia kecil menjadikannya sebagai sumber makanan.


Oleh itu, dengan adanya kepelbagaian biodiversiti di kawasan hutan bandar, ia boleh dijadikan sebagai titik tumpuan untuk melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan.


Risiko pemanasan global

Kewujudan hutan kawasan bandar juga dapat mengurangkan risiko pemanasan global dan kesan rumah hijau. Kebiasaannya, fenomena alam sekitar ini berpunca daripada aktiviti manusia seperti pembinaan bangunan pencakar langit dan pelepasan gas kenderaan atau kawasan perindustrian.


Kesannya, perkara ini menyumbang kepada pembentukan pulau haba di kawasan bandar yang menjadikan suhu meningkat.


Justeru, dalam hal ini, pokok terdapat di dalam hutan bandar berfungsi memastikan komposisi gas karbon dioksida di atmosfera diproses secara optimum melalui proses fotosintesis.


Menurut Kesatuan Antarabangsa Konservasi Alam (IUCN), kawasan hutan penting untuk menangani isu perubahan iklim dan ia mampu menyerap gas rumah hijau .


Di samping itu, hutan bandar juga berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan yang jauh lebih baik berbanding kawasan berturap. Oleh itu, ia mampu mengurangkan potensi banjir kilat di kawasan bandar terutama di Lembah Klang.


Sesetengah pihak turut melihat hutan bandar berperanan menjadi hab menimba ilmu pengetahuan berkaitan dengan alam sekitar.


Hal ini kerana, setiap hutan bandar memiliki komposisi flora dan fauna berbeza. Keunikan ini membuka ruang dan peluang kepada pelajar, pengkaji tempatan dan luar negara mahupun agensi berkaitan menjalankan kajian di kawasan berkenaan.


Sebagai contoh, di Universiti Malaya terdapat dua kawasan hutan bandar dijadikan sebagai 'makmal hidup' untuk membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kajian iaitu Taman Botani Rimba Ilmu dan Green Zone.


Kesimpulannya, pembentukan hutan bandar ini mendatangkan pelbagai kepentingan kepada ekosistem dan masyarakat khususnya dalam menangani krisis perubahan iklim, mencambah pendidikan dan konservasi.


Ia turut meningkatkan nilai sosial dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini melalui aktiviti riadah dilakukan secara bersama-sama.


Menyedari hakikat ini, pihak bertanggungjawab harus sentiasa peka dalam merancang dan meneliti setiap projek pembangunan ingin dijalankan di kawasan bandar.


Hal ini untuk memastikan Malaysia dibangunkan secara lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) seperti termaktub di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025).


Namun, usaha ini tidak dapat dicapai sekiranya tiada sokongan bersama daripada masyarakat. Pada masa sama, masyarakat juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan mengenai kepentingan kawasan hutan bandar dan konsep pembangunan lestari.


Penulis adalah Pensyarah Kanan, Bahagian Biologi, Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya


Sumber: Berita Harian


5 views
bottom of page