top of page

HSR, MRT3 perlu diterus di bawah RMKe-12


Projek mega seperti HSR mampu meningkatkan permintaan pekerjaan di Malaysia - Foto ihsan MyHSR

KUALA LUMPUR: Projek infrastruktur mega negara seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) perlu dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) bagi merangsang aktiviti ekonomi jangka panjang.


Projek pengangkutan awam berskala mega seperti itu mampu memberikan nilai tambah berganda kepada teknologi, ekonomi, perniagaan dan pekerjaan jika diteruskan semula kelak, kata penganalisis.


Timbalan Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata projek infrastruktur seperti HSR, MRT3 dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan memberikan kesan pengganda yang tinggi kepada ekonomi negara.


"Pada masa akan datang, untuk mengurangkan kembali kadar defisit dan hutang negara, projek ini adalah penting kerana ia bukan sahaja dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malah dapat mencipta peluang pekerjaan baharu.

"Selain itu kita akan dapat memanfaatkan pemindahan teknologi, selain dapat meningkatkan kapasiti dan juga keupayaan syarikat tempatan dalam industri dan sektor yang berkaitan," katanya kepada BH.


Irwan Shah berkata, melalui HSR, pembinaan bandar baharu di sekitar jajarannya akan dapat mengurangkan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah.


Ia juga, katanya akan merangsang industri tertentu seperti pelancongan dan hartanah, sekali gus mengangkat tahap kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.


Selain itu, beliau berkata projek terbabit dapat mengurangkan kos perniagaan, menggalakkan aktiviti pelaburan langsung asing (FDI) dan juga sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila siap kelak.


"Bagi MRT3 pula, ia perlu dilengkapkan supaya sistem pengangkutan awam kita lebih holistik, iaitu adanya sambungan yang baik dan juga boleh diharapkan.


"MRT bukan sahaja mesra alam, tetapi juga dapat meningkatkan produktiviti pekerja pada masa hadapan, apabila ramai pekerja dapat mengurangkan masa disebabkan kesesakan jalan raya," katanya.


Penganalisis Kanan MIDF Research, Imran Yusof, pula berkata bukanlah satu perkara yang 'pelik' jika kerajaan bertindak meneruskan projek HSR atau MRT3 dalam RMKe-12.


Beliau berkata, projek mega itu adalah satu cara untuk menjana dan melonjakkan ekonomi negara selepas berdepan kemelut COVID-19.


"Pada kebiasaannya, projek mega seperti HSR mampu memberi kesan limpahan yang positif kepada ekonomi negara.


"Kita juga dapat lihat beberapa negara asing sedang mencadangkan untuk melakukan suntikan fiskal melalui pelaksanaan projek infrastruktur untuk memulihkan ekonomi," katanya.


Mengulas lanjut, Imran berkata, projek mega HSR juga mampu meningkatkan permintaan pekerjaan di Malaysia di samping menjana aktiviti ekonomi yang bukan sahaja tertumpu di sektor pembinaan, tetapi di sektor lain yang berkaitan.


Beliau berkata, MIDF Research berpendapat syarikat pembinaan tempatan akan menjadi penerima manfaat jika projek HSR dilaksanakan, namun ia bergantung kepada perincian projek berkenaan dan juga kedudukan fiskal negara.


Sementara itu, Dekan Institut Reka Bentuk Malaysia-Itali (MIDI) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Dr Azman Senin berkata, semakan semula HSR dan MRT3 perlu berasaskan kepada analisis manfaat kos dan nilai kejuruteraan.


Katanya, sebarang keputusan untuk meneruskan projek mega negara itu perlu mendapat kajian mendalam dari segi impaknya kepada kewangan negara.


"Semakan semula perlu dilaksanakan berdasarkan dua elemen. Jika kerajaan berkeupayaan, projek mega sebegini boleh diteruskan. Jika sebaliknya, satu mekanisme terbaik wajar dilaksanakan membabitkan semua pemegang taruh.


"Jika dilihat dalam konteks jangka panjang, projek mega mampu memberikan nilai tambah dalam pekerjaan, pemindahan teknologi dan membuka peluang perniagaan bukan saja dalam kejuruteraan tetapi merangkumi semua, teknologi serta pelancongan," katanya.



198 views
bottom of page