KUALA LUMPUR: Sektor tenaga hidrogen negara yang akan dipacu Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR), dijangka menjana pendapatan negara sehingga RM12.1 bilion menjelang 2030, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia berdasarkan persetujuan pelaksanaan HETR yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) dipengerusikan Perdana Menteri di Pusat Sains Negara, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan HETR akan membangun dan memperkukuh ekosistem tenaga hidrogen di Malaysia, sekali gus memastikan sektor itu menyumbang antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.
Selain itu, katanya, HETR yang menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040, dijangka menjana 45,000 peluang pekerjaan serta membantu Malaysia mencapai sasaran pengurangan gas rumah hijau (GHG) dalam tempoh tujuh tahun akan datang.
"HETR secara strategik akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan global yang sangat menguntungkan kerana pasaran global bagi hidrogen hijau diunjurkan mencapai AS$189.19 bilion pada 2050.
"Daripada jumlah diunjurkan itu, sebanyak AS$81.12 bilion (43 peratus) nilai pasaran adalah di rantau Asia Pasifik, diikuti oleh ASEAN sebanyak AS$25.81 bilion (13 peratus) dan Malaysia pada AS$3.1bilion (dua peratus).
"Menjelang 2030, diunjurkan antara 0.4 hingga 1.3 peratus pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) dapat dicapai bergantung kepada model pelaksanaan yang dicadangkan dalam HETR.
"Selain itu, penjanaan pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan sumbangan kepada KDNK negara antara RM49 bilion hingga RM61 bilion dijangkakan pada 2030, di samping penjanaan peluang pekerjaan sehingga 45,000 menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang ketika sidang media selepas selesai mesyuarat NSC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan pembangunan keupayaan dan pemacuan teknologi tinggi menerusi HETR menyasarkan penghasilan hidrogen dengan kos yang kompetitif bagi penggunaan domestik untuk sasaran peralihan tenaga negara dan tujuan eksport.
Jelasnya, ekosistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi merancakkan pembangunan keupayaan industri, khususnya menerusi pembabitan aktif pihak swasta dan ahli akademik.
Menurut Anwar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah memulakan inisiatif dan projek berkaitan teknologi hidrogen, merangkumi penjanaan dan mobiliti hidrogen yang pertama di Malaysia melalui kerjasama antara agensi seperti NanoMalaysia dengan industri tempatan bagi projek pengisian semula hidrogen untuk mobiliti awam.
"Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Sarawak Energy Berhad juga menjalin kerjasama dalam pengeluaran komersial hidrogen hijau dan penerokaan rantaian bekalan nilai di Asia bagi memenuhi permintaan terhadap tenaga bersih global.
"Ini antaranya melalui pengukuhan keupayaan penyelidikan, peningkatan pengetahuan dalam teknologi serta pembangunan berkaitan hidrogen," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat NSC hari ini turut bersetuju untuk mempergiat usaha meningkatkan pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), dengan Kementerian Pendidikan diarah menyelaras inisiatif berkenaan.
Sumber: Berita Harian
HETR pacu sektor tenaga hidrogen jana pendapatan negara RM12.1 bilion
Comments