top of page

Hartasuma menang bidaan projek kereta kabel Pulau Pinang


Hartasuma menang bidaan projek kereta kabel Pulau Pinang Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Hartasuma menang bidaan projek kereta kabel Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Syarikat gerabak dan perkhidmatan rel bersepadu terkemuka, Hartasuma Sdn Bhd memenangi projek kereta kabel di Bukit Bendera dengan pelaburan RM250 juta yang dibuat melalui inisiatif perkongsian awam swasta (PPP) dengan kerajaan Pulau Pinang.


Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, yang juga Pengerusi Penang Hill Corp (PHC), membuat pengumuman itu semasa sidang media, hari ini.


Permohonan cadangan (RFP) bagi perkhidmatan kereta kabel Bukit Bendera bermula pada 13 Januari 2021 dan dilanjutkan hingga 30 November 2022 berikutan pandemik COVID-19.


Hartasuma akan memiliki konsesi untuk pusat tarikan pelancong ini untuk tempoh 30 tahun akan datang, di mana ia akan bertanggungjawab ke atas projek sepanjang tempoh berkenaan.


Projek itu dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dan mula beroperasi.


Pengarah Eksekutif Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon, berkata syarikat akan bekerjasama dengan Dopplemayr Group yang berpangkalan di Austria untuk menjayakan projek itu.


"Kami amat teruja dan berbesar hati kerana dianugerahkan projek ini oleh kerajaan Pulau Pinang. Kami berkongsi aspirasi yang sama dengan kerajaan Pulau Pinang, iaitu untuk mewujudkan destinasi pelancongan yang unik dan berprestij di Pulau Pinang.


"Kami berharap dapat bekerja dan merealisasikan projek ini mengikut jadual," katanya dalam satu kenyataan.


Dopplemayr adalah peneraju pasaran global dalam pembuatan 'ropeways' dan 'people mover' yang sudah membina lebih daripada 15,100 pemasangan untuk pelanggan di 96 negara.


Syarikat itu tidak asing dengan landskap pengangkutan Malaysia, setelah membangunkan projek Kereta Kabel Langkawi serta Kereta Api Funikular Pulau Pinang yang dinaik taraf baru-baru ini.


Di Asia Tenggara, Doppelmayr membina Bana Big Ropeway di Bà Nà Hills Mountain Resort, Vietnam.


Ia tercatat dalam sejarah sebagai laluan gantung terpanjang di dunia berukuran 5,801 meter dalam satu bahagian.


Bagi projek kereta kabel Pulau Pinang, sistem kereta kabel itu akan mempunyai kapasiti 1,000 penumpang sejam pada kelajuan enam meter sesaat, menggunakan 43 kabin gondola.


Terdapat 15 menara di sepanjang laluan dan perjalanan dari stesen di bawah ke atas akan mengambil masa 10 minit.


Ravindran menambah bahawa jajaran ini akan memastikan bahawa gangguan kepada pengguna Taman Botani ketika kerja pembinaan dan operasi akan diminimumkan.


"Kami komited bahawa ketika peringkat pembinaan, semua langkah mitigasi yang dinyatakan dalam laporan penilaian kesan alam sekitar akan dilaksanakan untuk memastikan gangguan minimum terhadap persekitaran dan operasi bangunan serta sistem kereta kabel berkenaan akan menggabungkan amalan terbaik dalam pengurusan alam sekitar dan kelestarian," katanya.


Sebagai sebahagian daripada kertas cadangannya, Hartasuma juga sedang menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kabel dan Rel (CROE) di Pulau Pinang.


CROE itu akan menghimpunkan kemudahan bertaraf dunia, pekerja mahir serta pembangunan teknologi dalam teknologi kabel dan rel.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page