top of page

Harga simen: KPDNHEP keluar notis kepada kilang


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Sebarang keputusan untuk menaikkan harga simen perlu dirujuk dan mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu adalah seperti yang dinyatakan dalam “Syarat-syarat Khas bagi Pemborong Simen” di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan bukan keputusan mutlak syarikat pengeluar simen.


“Kementerian mengambil maklum sumber-sumber berita yang melaporkan bahawa harga simen akan mengalami kenaikan secara mendadak.


“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab kepada isu harga serta sekretariat kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang memantau isu-isu kos sara hidup rakyat, beberapa tindakan segera dikeluarkan berhubung isu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Katanya, Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP akan segera mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kepada 19 kilang pengeluar simen seluruh negara.


Saifuddin berkata, notis ini dikeluarkan untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat terbabit berkenaan punca kenaikan harga simen yang mana ia harus dijawab dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikeluarkan.


Beliau berkata kegagalan menjawab dalam tempoh itu akan mengundang kepada tindakan undang-undang mengikut akta sama.


“KPDNHEP setakat ini belum menerima sebarang makluman rasmi daripada syarikat pengeluar simen berkenaan isu ini dan sudah mengarahkan agar mereka segera berbuat demikian.


“Kerajaan menyeru agar sebarang pengumuman yang bersifat sensitif seperti ini dibincangkan dan dirujuk bersama terlebih dahulu agar kepentingan rakyat dan pihak terbabit akan dilindungi,” katanya.



18 views
bottom of page