top of page

Harga, nilai rumah di kawasan banjir tidak akan turun


Gambar hiasan (Sumber: Sinar Harian)

PETALING JAYA - Harga dan nilai rumah di kawasan Lembah Klang termasuk beberapa kawasan di Shah Alam dan Hulu Langat yang dilanda banjir besar pada Disember tahun lalu tidak akan turun.


Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, ini berikutan, nilai hartanah di kawasan itu tidak berubah.


Namun, beliau mengalu-alukan jika terdapat kajian mengatakan bahawa nilai harga rumah di kawasan terjejas akan menurun walaupun pada asasnya perkara sedemikian tidak berlaku.


Katanya, kerajaan Selangor juga masih mengekalkan harga rumah ditetapkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor khususnya rumah mampu milik pada harga paling baik dan paling mahal RM250,000.


"Malah (harga rumah) projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pun lebih RM300,000, lebih pada harga yang ada, jadi yang penting sekarang ini ialah kita bukan hendak mengurangkan (harga) tetapi kita hendak menyediakan (lebih banyak rumah).


"Sebab yang paling mendesak sekarang ini kerana ramai yang memohon tetapi kapasiti untuk melaksanakannya itu kurang.


"Jadi saya yakin apa yang ada ini sudah cukup bagus dan bukanlah kerana disebabkan satu insiden (banjir) kita terpaksa menurunkan harga (rumah) dan itu tidak (mungkin) berlaku," katanya pada Isnin.


Rodziah ditemui pada Majlis Pelancaran Program Bangunan Hijau Ke Arah Kesejahteraan Bandar dan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) bersama Odesi ECOB di Glenmarie Golf & Country Club di sini.


Dalam pada itu, beliau berkata, mengikut statistik bencana diperoleh kerajaan Selangor setakat ini, dilaporkan lebih 11,000 rumah terbabit dalam kejadian banjir besar pada Disember lalu.


Menurutnya, lebih 9,000 permohonan baik pulih rumah diterima membabitkan dua kategori iaitu kerosakan bahagian rumah serta struktur rumah dan sebanyak 44 rumah pula perlu dibina baharu.


"Ada dua jenis baik pulih kita akan buat iaitu (bantuan bernilai) RM5,000 dan RM15,000 dan saya juga mencadangkan agar bantuan itu diberikan secara tunai kerana ramai sudah membaiki sendiri kecuali untuk membina rumah, itu kerajaan buat," katanya.


Sumber: Sinar Harian

7 views

Comments


bottom of page