top of page

'Habis rim kereta saya pun bengkok'- Sultan Johor


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar
SULTAN Ibrahim Iskandar bertitah ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15. FOTO ihsan MEDKOM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar

Iskandar Puteri: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berharap Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan untuk pembaikan jalan yang rosak teruk dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang.


Sultan Ibrahim bertitah, Jalan Johor Bahru-Mersing turut mengalami isu sama dan berbahaya kepada pengguna.


"Saya berharap supaya peruntukan pembaikan jalan Persekutuan disalurkan untuk membaiki laluan Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru-Mersing yang berlubang dan amat membahayakan pengguna jalan raya.


"Habis rim kereta saya pun bengkok," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.


Pada Jun tahun lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan menitahkan Kerajaan Persekutuan supaya segera menunaikan janji untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) kepada empat lorong.


"Lihat juga keadaan jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya Jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya.


"Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor antara penyumbang utama ekonomi negara," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Dun Johor, tahun lalu.


Dalam pada itu, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaiktaraf Lebuhraya Utara-Selatan dari Yong Peng-Senai kepada enam lorong.


"Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaiktaraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong.


"Kalau boleh buatlah dari Gemas, buat apa separuh jalan. Kerajaan Pusat juga akan sediakan lorong memotong di Lebuhraya Senai-Desaru dari Pasir Gudang ke Bandar Penawar yang merupakan satu-satunya lebuh raya di Malaysia yang hanya ada dua lorong dan dikenakan bayaran tol," titah baginda.


Dalam pembentangan 2023 lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk melaksanakan beberapa projek naik taraf jalan raya Persekutuan dan lebuh raya.


Antaranya projek naik taraf jaringan lebuh raya ke Pengerang dengan membina lorong memotong di Senai-Desaru Expressway, serta projek naik taraf Lebuhraya Utara Selatan laluan Yong Peng Utara-Senai Utara Fasa 1 kepada enam lorong dengan kos RM525 juta secara berfasa.


Sumber: Harian Metro


41 views
bottom of page