top of page

Guna robot dalam pentadbiran kerajaan?


SYED Saddiq ketika berinteraksi bersama robot, Sophia sempena Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma. FOTO Muhd Zaaba Zakeria

Ekhwan Haque Fazlul Haqueekhwan@hmetro.com.my


KECERDASAN buatan (AI) diyakini boleh memberikan ekosistem yang positif dalam pelbagai bidang sekiranya ia digunakan secara maksimum tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada tenaga manusia.


Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, AI kini adalah teknologi yang semakin diperlukan dalam pelbagai urusan, selain terbukti memberikan kemudahan yang lebih baik kepada penggunanya.


Menurutnya, dalam konteks kementerian, AI dilihat mampu melicinkan pentadbiran kerana ia merangkumi aspek keselamatan, kesihatan dan penyelenggaraan.


“Pelbagai kementerian boleh menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan keberkesanan dalam pentadbiran, penyelenggaraan dan penguatkuasaan kerana ia terbukti lebih cekap.

“Saya berharap selepas ini Kementerian Belia dan Sukan serta kementerian lain menggunakan teknologi AI seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara maju lain,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma: Mendorong Revolusi Industri 4.0 di Kuala Lumpur, hari ini.


Terdahulu, Syed Saddiq berpeluang melontarkan pertanyaan kepada Sophia, robot ciptaan David Hanson, pemilik syarikat Hanson Robotics berpangkalan di Hong Kong.


Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, Malaysia perlu agresif mempersiapkan tenaga mahir untuk bersaing dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).


“Malaysia sudah perkenalkan kertas putih IR 4.0 dan menerusi KBS kami sudah mempersiapkan penuntut di 22 institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mendalami bidang mesin, pembuatan dan teknologi.


“Kita perlu memastikan rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya IR 4.0 dan kini Malaysia berada dalam fasa pelaksanaan dan semua kementerian perlu memperkasakan usaha agar lebih bersedia,” katanya.


Sumber: Harian Metro




24 views
bottom of page