top of page

Guna nama pemandu jadi ahli lembaga pengarah


Keratan akhbar BH, semalam.

KUALA LUMPUR: Ada syarikat yang tidak layak mendapat status Bumiputera didakwa menggunakan nama pemandu atau kakitangan mereka sebagai ahli lembaga pengarah untuk mendaftar akaun ePerolehan demi mendapatkan status berkenaan.


Penggunaan nama pekerja Bumiputera itu melayakkan syarikat berkenaan mendaftar akaun ePerolehan dengan Kementerian Kewangan (MoF), sekali gus berpeluang mendapatkan tender kerajaan yang dikhususkan kepada syarikat bertaraf Bumiputera.


Mendedahkan perkara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd Halim Husin, berkata pihaknya percaya modus operandi sedemikian sudah berakar umbi dan turut menjadi antara punca ketirisan tender kerajaan untuk syarikat Bumiputera tulen.



"Itu antara modus operandi yang dipercayai diguna pelbagai syarikat di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya dalam usaha memenuhi syarat minimum bagi mendapatkan projek kerajaan.


"Selain menyenaraikan pekerja mereka daripada kalangan Bumiputera sebagai ahli lembaga pengarah, banyak juga syarikat meletakkan pekerja Bumiputera di hadapan dalam pengurusan tertinggi untuk mengaburi mata pihak lain seterusnya merebut peluang yang ditawarkan kerajaan." katanya.


Katanya, apabila sindiket menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu, ia membuktikan situasi itu memang wujud dan perlu ditangani secara serius.


"Dalam pasaran, kita dengar banyak mengenai perkara ini, tetapi kita tidak mempunyai bukti kukuh. Antaranya ada syarikat bukan Bumiputera boleh mendaftar sebagai syarikat Bumiputera untuk mendapatkan projek kerajaan.


"Pekerja bawahan mereka seperti pemandu Bumiputera dilantik ke dalam lembaga pengarah syarikat untuk tujuan mendaftar ePerolehan dan membida projek kerajaan, sedangkan 'ahli lembaga pengarah' atau 'pengurusan tinggi' itu sebenarnya tidak tahu menahu pun strategi syarikat.


"Mereka sanggup dipergunakan demi habuan yang kecil," katanya yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan turut mengakui situasi itu juga berpunca daripada sikap Bumiputera sendiri.


"Walaupun bergelar ahli lembaga pengarah, mereka yang dipergunakan ini sebenarnya tidak mempunyai kuasa pun untuk membuat keputusan bagi syarikat kerana status sebenar adalah pekerja biasa sahaja," katanya.


Abd Halim menegaskan, tindakan sindiket sedemikian turut mengecilkan peluang untuk syarikat Bumiputera tulen bergiat aktif dan berkembang dalam perniagaan kerana kek ekonomi bertambah kecil.


Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzil Hassan mahu syarikat yang menggunakan sindiket terbabit untuk mendaftar akaun ePerolehan dan mendapatkan status Bumiputera dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan.


"Syarikat terbabit harus dikenakan tindakan bagi memberi peluang kepada syarikat Bumiputera yang benar-benar tulen dan layak, melaksanakan tanggjawab yang diberikan," katanya.


Beliau juga percaya pelanggan sindiket berkenaan bukan dari kalangan syarikat besar dalam industri pembinaan kerana entiti sedemikian masih boleh mendapatkan kerja secara subkontrak daripada syarikat Bumiputera.


"Isu berkaitan syarikat Bumiputera memang banyak. Tidak semua syarikat Bumiputera menggunakan peluang diberikan kerajaan untuk memajukan ekonomi mereka, sebaliknya memberikan pula projek yang diperoleh itu kepada syarikat lain," katanya.


Akaun ePerolehan adalah sistem perolehan elektronik membolehkan pembekal berdaftar dengan MoF menawarkan produk dan perkhidmatan kepada kerajaan secara dalam talian. Ia juga pilihan untuk pembekal mendaftar dan memperbaharui Sijil MoF.


Kelmarin, BH melaporkan lima kakitangan MoF ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan.


Yang turut ditahan adalah empat orang awam dipercayai 'runner' atau orang tengah yang disyaki bersekongkol dalam aktiviti itu sejak 2017 dan mereka dikatakan sudah mengaut hasil ratusan ribu ringgit dari pelbagai syarikat, termasuk dipercayai bukan milik Bumiputera.


Kakitangan MoF membabitkan tiga wanita dan dua lelaki bersama empat orang awam itu, semua berusia antara 30 hingga 47 tahun kemudian direman enam hari sehingga Rabu ini.


BH juga mendedahkan sindiket terbabit dikesan menjamin pendaftaran ePerolehan diuruskan mereka boleh disiapkan dalam tempoh 24 jam dengan caj dikenakan hanya kira-kira RM500 untuk setiap permohonan.



8 views
bottom of page