top of page

Graduan perlu lebih dinamik, kuasai bahasa Inggeris


DR Hassan Basri

KUALA TERENGGANU: Graduan perlu lebih dinamik dengan menjadi golongan yang menyediakan peluang pekerjaan dan bukan lagi hanya pencari kerja.


Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri, berkata kurang penguasaan dan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, terlalu memilih pekerjaan selain nilai kebolehpasaran diri yang rendah menjadi antara faktor paling kritikal menyebabkan graduan sukar mendapat pekerjaan mengikut kelayakan akademik.


Beliau yang tidak bersetuju dengan dapatan mengaitkan kegagalan graduan mendapat pekerjaan dengan latar belakang ekonomi keluarga berkata, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan yang patut dimanfaatkan graduan untuk meningkatkan nilai kebolehpasaran diri dalam bidang pekerjaan.


Katanya, di Malaysia ada kira-kira empat juta pekerjaan yang sesuai untuk diisi oleh graduan, tetapi kerana terlalu memilih kerja dan hanya mahukan kerjaya bersesuaian dengan kelayakan akademik menyebabkan peratusan graduan menganggur meningkat.


“Sekarang ini kerajaan sediakan pelbagai bentuk latihan dan perkukuhkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mana graduan boleh mengambil peluang untuk melengkapkan diri dengan kemahiran dan kebolehan ‘multi tasking’.


“Kerajaan juga tekankan bidang keusahawanan. Sekarang bukan zaman graduan mencari kerja, tetapi zaman mencipta kerja. Inilah graduan yang dinamik.


“Graduan juga digalakkan mengintai peluang pekerjaan di negara luar. Tetapi oleh kerana kelemahan berbahasa Inggeris, mereka tidak berani. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga kata penguasaan bahasa Inggeris kita lemah.


“Kukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dan pergilah rebut peluang pekerjaan di sektor antarabangsa dan di luar negara. Bukan pergi sebagai buruh, tetapi sebagai ekspatriat dalam bidang profesional,” katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, apa yang lebih penting graduan perlu bijak merebut peluang pekerjaan walaupun pada peringkat awal ia tidak bersesuaian dengan kelayakan akademik yang dimiliki.


“Asalkan ada peluang kerja kosong kita rebutlah. Ada peluang lain kita pindah sebab kerajaan sekarang pun amalkan dasar terbuka. Maksudnya anda boleh pindah merata-rata.


“Kalau dulu nak pindah kena ada kebenaran ketua jabatan dan tiga bulan notis dan kalau ketua jabatan tidak benarkan, anda boleh hilang ‘senioriti’. Sekarang kerajaan sudah amalkan dasar terbuka, anda beri notis sebulan, sudah boleh mula kerja baharu,” katanya.


Laporan eksklusif BH Ahad menyiarkan laporan graduan miskin, kelompok kumpulan pendapatan isi rumah terendah (B40) sukar mendapat kerja setimpal.


Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UniSZA, Prof Dr Mohd Afandi Muhamad, berkata langkah universiti itu menyediakan kursus ‘finishing school’ di setiap fakulti untuk semua pelajarnya menjadi faktor penurunan kadar graduan menganggur dari universiti itu.


“Menerusi program ini, pelajar kita diberi kursus yang memberi latihan untuk menambah nilai kebolehpasaran mereka.


“Kesan program ini dapat dilihat apabila pada tahun lalu, 79 peratus graduan UniSZA mendapat pekerjaan dalam tempoh tiga bulan selepas graduasi.


“Selain itu, kursus pengajian ditawarkan di UniSZA yang memenuhi kehendak pasaran semasa dan nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi dengan penekanan daripada sudut akhlak, patriotik dan kemanusiaan yang menjadi keutamaan UniSZA sejak sekian lama.


“Untuk 2019, kita mensasarkan 85 peratus kebolehpasaran graduan dan kita optimis mampu mencapainya berdasarkan pencapaian beberapa tahun sebelum ini,” katanya.



10 views
bottom of page